Weijie dan Hang Yee muncul juara Terbuka Ukraine. FOTO Ihsan BAM
Weijie dan Hang Yee muncul juara Terbuka Ukraine. FOTO Ihsan BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Aksi cemerlang dua beregu lelaki negara berjaya menghadiahkan gelaran juara buat negara di Kejohanan Terbuka Odisha dan Terbuka Ukraine.

Nur Muhd Azryin-Lim Khim Wah yang kini menghuni ranking ke-288 dunia mengungguli Terbuka Odisha manakala aksi mantap Chia Weijie-Low Hang Yee berjaya menobatkan mereka sebagai juara Terbuka Ukraine.

Pada aksi kejohanan BWF Super 100 yang menawarkan hadiah RM314,118 itu Azryin-Khim Wah yang kini bergerak secara profesional menewaskan pasangan India, Ravikrishna PS-Sankar Prasad Udayakumar.

Mereka berjaya bangkit selepas tewas pertama untuk menang dua set berikutnya 18-21 21-14 21-16 dalam aksi yang memakan masa 51 minit. Ia adalah kejohanan ketiga buat pasangan negara itu yang sebelum ini tewas di pusingan pertama Terbuka India dan tewas pusingan kedua di Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow.

Azriyn yang sebelum ini berjaya meraih emas dalam acara beregu di Kejohanan Universiti Dunia bersama Low Juan Shen manakala Khim Wah muncul juara Terbuka Malaysia bersama Goh V Shem pada 2014 itu menyasarkan untuk berada di ranking ke-40 dunia dalam usaha mereka melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Tokyo Ogos ini.

Sementara itu pada final di Terbuka Ukraine, Chia Weijie-Low Hang Yee juga dipaksa beraksi tiga set sebelum berjaya menewaskan pasangan Denmark, Emil Lauritzen-Mads Vestergaard 18-21 21-13 21-12.

Pasangan diranking ke-279 dunia itu berjaya merangkul gelaran sulung di peringkat antarabangsa selepas menewaskan Lauritzen-Vestergaard yang menghuni ranking ke-104 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 1:07 PM