LEE Zii Jia. FOTO Hairul Anuar Rahim
LEE Zii Jia. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mendapat restu untuk dibebaskan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka mempunyai hak untuk meminta dana daripada kerajaan dan berkongsi keuntungan di atas penajaan tinggi yang diperoleh pemain berkenaan.

Itu adalah 'situasi menang' di pihak BAM yang dijangka berlaku sekali gus berkemungkinan tiada lagi bayaran pampasan seperti sebelum ini apabila pemain ternama mengumumkan untuk keluar badan induk berkenaan.

Menurut bekas pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Rashid Sidek, pada pandangan beliau BAM berhak mendapat dana yang lebih daripada kerajaan untuk melahirkan pemain berkualiti.

"Sebagai contoh selain tajaan syarikat korporat mereka berhak untuk meminta bajet tambahan daripada kerajaan sekiranya pada tahun berkenaan mereka kekurangan dana," katanya.

Menurut Rashid, memang BAM mempunyai penaja tapi sekiranya berlaku kekurangan dana dalam satu tempoh siapa yang akan menanggung masalah berkenaan.

"Apabila aset berharga mereka sudah keluar, mereka tidak boleh meletakkan harga tinggi daripada pihak penaja, jadi perlu minta pertolongan pihak kerajaan. Sekarang situasinya seperti itu.

"Apa pun situasi menang-menang ini sudah bagus, Zii Jia hanya perlu fokus kepada kariernya dan perlu buktikan kemampuan. Dia tidak boleh beri sebarang alasan lagi jika tidak boleh memberikan persembahan terbaik. Buktikan keputusannya berbaloi dan kita hanya perlu fikir positif sahaja," kata bekas jurulatih perseorangan negara itu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, Zii Jia dijangka berkongsi keuntungan bersama BAM untuk memberikan 'situasi menang' kepada badan induk berkenaan.

"Mungkin peratusan berkongsi keuntungan ini tidak banyak dalam 10 peratus atau bawah daripada itu. Itu adalah mekanisme yang terbaik kerana berkongsi keuntungan ini akan membabitkan jangka panjang.

"Kalau Zii Jia mendapat tajaan RM8 juta, BAM akan menerima RM800,000 setahun, kalau RM1 juta RM100,000 setahun. Tidak akan ada bayaran pampasan kepada BAM kerana dulu berbentuk hukuman sahaja.

"Itu adalah sebahagian daripada hak BAM yang sudah membelanjakan untuk pembangunan Zii Jia sepanjang 15 tahun. Selagi dia dapat penajaan, BAM akan berkongsi keuntungan. Disebabkan itu Zii Jia harus mempunyai pasukan mantap termasuk dari segi juruakaun atau juruaudit.

"Jadi 'situasi menang-menang' buat BAM adalah mendapat keuntungan daripada bekas pemainnya. Dulu mereka bebaskan pemain tidak mendapatkan keuntungan. Kali ini ia berterusan dalam jangka panjang dan lebih menarik," katanya.

Menerusi status di Facebook miliknya kelmarin, juara Seluruh England 2021 itu, berkata dia sudah pun mendapat restu daripada Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk bergerak secara profesional dan menyelesaikan segala isu secara baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 10:13 AM