Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia. FOTO PBSI
Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia. FOTO PBSI
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Kebanyakan peminat badminton dan warganet tidak terkejut dengan keputusan pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak secara profesional.

Malah ramai yang menyokong keputusannya dan mendoakan kejayaannya selepas ini sekalipun masa depannya masih tidak menentu jika BAM membuat keputusan untuk menggantungnya daripada kejohanan antarabangsa seperti yang berlaku kepada Tan Chun Seang pada 2011.

Menerusi komen di laman Instagram Team Malaysia @teammsia, ada peminat yang berasakan dia kini boleh memilih kejohanan yang disertainya sesudah beraksi sembilan kejohanan dari September hingga Disember lalu hingga menyebabkan pemain dari Kedah itu mengalami kecederaan belakang dan keletihan.

"Bagus Zii Jia! Kini, dia boleh pilih kejohanan yang dia nak masuk, tak perlu ikut dah apa BAM nak tapi harapnya prestasi ok, lakukan kebangkitan pada kejohanan berikutnya..," komen @nawrra.

Ada juga berasakan pemain ranking ketujuh dunia itu tidak perlu bimbang kerana banyak penaja pasti bersedia untuk mendapatkan tandatangannya.

"Tak mengapa ZJ... penaja anda beratur... kalau Zaiyi dan Yassin (merujuk kepada beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi) boleh buktikan anda pun boleh... carilah kebahagiaan anda," tulis @najlaaxxi.

Berita mengenai keinginan Zii Jia untuk bertanding secara profesional pantas mendapat maklum balas warganet malah ada yang mencadangkan juara Seluruh England 2021 itu menempah tiket penerbangan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu untuk berlatih dengan Viktor Axelsen dan rakannya.

"Selamat datang ke Dubai LZJ... sparring partner dengan Axelsen dan LKY," komen @amir5273.

Kebanyakan peminat menyatakan mereka akan tetap menyokong karier Zii Jia sekalipun dia tidak bersama BAM lagi kerana sudah tentu dia akan cuba mengharumkan nama negara di persada badminton dunia sekali gus mengibar Jalur Gemilang.

"Selagi dia tabik Negaraku, kita masih sentiasa sokong," kata @shiroyatsu.

Zii Jia, 23, pemenang pingat emas Sukan Sea Manila 2019, menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM pada 11 Januari lalu menyatakan dia tidak mampu menanggung tekanan sebagai pemain utama negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 2:11 PM