Bekas pemain badminton negara, Goh Jin Wei. FOTO File NSTP
Bekas pemain badminton negara, Goh Jin Wei. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sentiasa terbuka mengadakan perbincangan bersama bekas pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei bagi membantunya untuk kembali semula ke peringkat kompetitif.

Menurut BAM, ia perlulah dilakukan dengan proses yang betul tidak kira sama ada bekas juara dunia remaja dua kali itu mahu kembali ke pangkuan skuad kebangsaan atau bergerak secara profesional.

Jin Wei, 21, pada September tahun lalu mengumumkan persaraannya daripada sukan badminton atas alasan masalah kesihatan.

Bagaimanapun, pemain berasal dari Pulau Pinang itu membuat 'pusingan U' apabila menyatakan hasratnya keluar daripada persaraan.

Menerusi satu video yang disiarkan dalam saluran Youtube miliknya, Jin Wei mengakui menyesal membuat keputusan untuk bersara sebelum ini dan mahu membuat kemunculan semula.

Bagaimanapun, pemain berkenaan merancang untuk memulakan semula kerjayanya sebagai pemain profesional kerana tidak dapat memenuhi komitmen bersama skuad kebangsaan disebabkan masalah kesihatan.

BAM yang dikritik di media sosial berkenaan isu persaraan Jin Wei menegaskan badan induk itu tidak pernah menghalang untuk pemain berkenaan kembali beraksi jika persetujuan secara bersama dapat dicapai.

"BAM sudah menghabiskan masa dan perbelanjaan yang banyak bagi membentuk Jin Wei sejak dia berusia 14 tahun. Kami juga sudah berusaha untuk cuba memujuknya agar dia kekal bersama skuad kebangsaan sebelum dia umum untuk bersara.

"Kami beranggapan yang dia mahu bersara dan meninggalkan sukan badminton untuk selamanya tetapi kini situasinya berbeza.

"Pendirian kami masih sama dan kami sentiasa terbuka untuk membantunya termasuklah menerimanya kembali dalam skuad kebangsaan kerana kami tahu dia adalah pemain yang berbakat.

"Namun, BAM adalah sebuah institusi dan ada peraturan yang perlu dipatuhi. Kita tidak boleh membiarkan dia datang dan pergi mengikut kehendaknya kerana itu juga akan menjadi contoh buruk kepada pemain lain.

"Akhirnya, mesej yang ingin kami sampaikan adalah kami gembira untuk membantunya tetapi perlu ada perbincangan dan ia perlu dilakukan melalui proses yang betul," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh yang turut memberitahu badan induk itu sudah membelanjakan lebih kurang RM1.4 juta untuk program pembangunan Jin Wei sejak usianya 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 4:24 PM