GOH Jin Wei. Foto YouTube JinWeiGoh
GOH Jin Wei. Foto YouTube JinWeiGoh
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei memutuskan untuk meneruskan karier badmintonnya sebagai pemain bebas sekali gus menamatkan desas-desus dia akan kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Sekalipun mengakui dia berasa kesal dengan keputusannya meninggalkan skuad kebangsaan pada 13 September lalu, Jin Wei tekad dengan keputusannya untuk berdikari.

Dalam satu kenyataan berdurasi 2:02 minit di laman YouTube, pemain berusia 21 tahun itu menjelaskan dia mungkin tidak dapat memberikan komitmen 100 peratus jika kembali bersama skuad negara.

"Seperti semua sedia maklum, saya bersara daripada skuad kebangsaan beberapa bulan lalu, saya hidup dalam kekesalan setiap hari sejak itu. Saya amat berharap untuk terus bermain badminton tidak kira apa pun tahap atau statusnya.

"Buat masa ini, saya lebih suka untuk meneruskan karier saya sebagai pemain bebas.

"Saya amat terharu dijemput oleh pasukan kebangsaan untuk kembali menyertai mereka, ia satu penghargaan besar buat saya untuk menerima jemputan ini.

"Bagaimanapun, saya sedar saya tidak mampu memberikan komitmen 100 peratus dan saya tidak mungkin mampu memenuhi keperluan dan kelayakan pasukan kebangsaan ketika ini kerana isu kesihatan saya," katanya yang berasakan kehadirannya semula bersama BAM mungkin menafikan peluang pemain lain.

Jin Wei, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, merangkul kejuaraan perseorangan wanita remaja dunia pada 2015 di Lima, Peru dan 2018 di Markham, Kanada.Dia turut memenangi pingat emas perseorangan wanita pada temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, menamatkan penantian 14 tahun selepas kali terakhir dimenangi Datin Wong Mew Choo pada temasya Vietnam 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 7:40 PM