PEARLY (kiri) ketika beraksi bersama Thinaah.
PEARLY (kiri) ketika beraksi bersama Thinaah.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kepulangan Chan Peng Soon ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) disambut baik ketua jurulatih beregu campuran negara, Paulus Firman.

Namun persoalannya kini, siapakah rakan segandingan paling layak untuk bersama pemenang pingat perak temasya Olimpik Rio itu.

Paulus mengalu-alukan kehadiran Peng Soon yang mampu memperkuatkan barisan pemain negara dan menyatakan kemungkinan pemain berusia 33 tahun itu akan digandingkan dengan pemain beregu wanita negara.

"Pengalaman Peng Soon sangat berguna. Dia boleh menjadi mentor kepada pemain muda. Apa yang perlu dilakukan sekarang ini mencari pasangan tepat untuknya. Mungkin calon yang sesuai adalah dari beregu wanita," katanya.

Semalam Peng Soon mengatakan misi utama dan kepulangannya bersama BAM adalah untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik Paris 2024.

Dia berasakan masih mampu beraksi dan memberikan pingat buat negara malah yakin dengan sistem dan keupayaan dimiliki BAM itu, perkara berkenaan dapat direalisasikan.

Sementara itu, antara nama yang disebut untuk menjadi pasangan Peng Soon adalah Pearly Tan. Rata-rata mengatakan Pearly, 21, menunjukkan peningkatan prestasi positif bersama pasangannya M Thinaah. Pearly sebelum ini turut muncul juara Cabaran Antarabangsa Bangladesh dan India selain Siri Antarabangsa Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 10:32 PM