PENG Soon-Liu Ying tewas kepada pasangan Hong Kong.  FOTO BAM
PENG Soon-Liu Ying tewas kepada pasangan Hong Kong. FOTO BAM
Aida Adilah Mat dan Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tidak mahu menekan butang panik walaupun tewas di pusingan pertama Terbuka Denmark di Odense, semalam.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan ditunjukkan jalan keluar selepas tewas di tangan pasangan Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung 17-21, 19-21.

Peng Soon, 33, berkata dia dan Liu Ying tidak meletakkan sebarang sasaran di Terbuka Denmark sebaliknya menganggap kejohanan itu sebagai medan untuk kembali mendapatkan rentak permainan selepas tamat saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai lalu.

"Selepas tamat Olimpik Tokyo, kami memerlukan masa untuk proses pemulihan. Kami merancang untuk menjadikan kejohanan ini sebagai sebahagian daripada latihan kami untuk kembali kepada prestasi sebenar.

"Kami tidak mempunyai banyak masa selepas tamat Olimpik untuk melakukan persiapan. Jadi, ini sebahagian daripada latihan kami," katanya.

Sementara itu, Liu Ying, 32, berkata, walaupun tidak bersedia 100 peratus, mereka terpaksa beraksi dalam kejohanan itu kerana ia diwajibkan kepada 10 pasangan terbaik dunia seperti yang ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Low Juan Shen juga terkandas di pusingan pertama kepada juara temasya Olimpik Tokyo, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan 14-21,18-21.

Masih lagi mencari keserasian, V Shem-Juan Shen mengakui bahawa mereka tidak begitu bimbang dengan keputusan di Terbuka Denmark itu.

Bagi Juan Shen, 28, dia bersama V Shem baru menjalani latihan bersama sebulan lalu dan pastinya untuk mendapatkan keserasian itu memerlukan masa sebelum dapat melangkah lebih jauh di peringkat antarabangsa.

"Mereka (Lee Yang-Chi Lin) bermain dengan lebih baik dan kami tidak malu tewas kepada mereka. Biarpun begitu kami bermain dengan lebih baik di set kedua. Saya bersama V Shem juga masih lagi mencari keserasian dan ia memerlukan sedikit masa untuk kami mencari rentak terutama pada perlawanan di tahap tertinggi seperti ini. "Saya yakin gandingan saya bersama V Shem akan menjadi lebih baik selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 9:56 PM