AKSI V Shem (kiri) dan Juan Shen. FOTO Agensi
AKSI V Shem (kiri) dan Juan Shen. FOTO Agensi
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Impian untuk beregu profesional negara, Goh V Shem-Low Juan Shen untuk mara lebih jauh di kejohanan Terbuka Denmark tidak kesampaian apabila terkandas seawal pusingan pertama, semalam.

Namun itu bukan satu masalah buat mereka yang mula bergandingan sejak sebulan lalu.

Pada aksi pusingan pertama itu, V Shem-Juan Shen tewas kepada juara temasya Olimpik Tokyo, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan 14-21,18-21.

Mengakui masih lagi mencari keserasian, V Shem-Juan Shen berkata mereka tidak begitu bimbang dengan keputusan di Terbuka Denmark itu.

Bagi Juan Shen, 28, dia bersama V Shem baru menjalani latihan bersama sebulan lalu dan pastinya untuk mendapatkan keserasian itu memerlukan masa sebelum dapat melangkah lebih jauh di peringkat antarabangsa.

"Mereka (Lee Yang-Chi Lin) bermain dengan lebih baik dan kami tidak malu tewas kepada mereka. Biarpun begitu kami bermain dengan lebih baik di set kedua.

"Saya bersama V Shem juga masih lagi mencari keserasian dan ia memerlukan sedikit masa untuk kami mencari rentak terutama pada perlawanan di tahap tertinggi seperti ini.

"Saya yakin gandingan saya bersama V Shem akan menjadi lebih baik selepas ini," katanya.

Juan Shen berkata, Terbuka Denmark hanyalah permulaan perjalanan buat mereka dan selepas ini berharap mampu untuk mara lebih jauh di Terbuka Perancis minggu depan dan Terbuka Hylo di Jerman yang akan bermula dari 2 hingga 7 November ini.

Juan Shen berganding bersama V Shem selepas rakan gandingannya itu pemain itu memutuskan untuk berpisah dengan Tan Wee Kiong, pasangan yang menghadiahkan perak buat negara ketika Olimpik 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 1:34 PM