Brian Yang. FOTO BWF
Brian Yang. FOTO BWF
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Bintang sedang meningkat Kanada, Brian Yang menganggap pertembungannya dengan perseorangan utama negara, Lee Zii Jia pada aksi peringkat kumpulan Piala Thomas di Aarhus, Denmark semalam sebagai perlawanan paling sukar buatnya setakat ini.

Yang, 19, tewas 18-21, 13-21 di tangan Zii Jia dalam masa 38 minit pada pertembungan dua perseorangan pertama Kanada-Malaysia di Arena Ceres.

Dia turut tewas dua set kepada Zii Jia pada pusingan pertama Seluruh England tahun ini.

"Ya, saya fikir pertemuan dengan Zii Jia hari ini adalah perlawanan paling sukar buat saya setakat ini. Pada set pertama saya boleh menyainginya tapi saya banyak melakukan kesilapan pada set kedua kerana agak tertekan dan gagal membalas banyak pukulannya," kata pemain ranking ke-39 dunia itu dalam satu wawancara di saluran YouTube Badminton Europe.

Pemain yang semakin menonjol dan mendapat pujian warganet itu mencuri tumpuan apabila menumpaskan dua pemain ternama Jonatan Christie dari Indonesia yang juga pemain ranking ketujuh dunia pada kempen Piala Sudirman di Finland dan kemudian pemain nombor 13 dunia dari Jepun, Kanta Tsuneyama pada aksi peringkat kumpulan Piala Thomas di Aarhus.

Apabila diaju wartawan berkali-kali sama ada Zii Jia boleh menjadi pemain terbaik, Yang berkata: "Ya, saya pasti dia boleh menjadi pemain terbaik di dunia jika dia terus konsisten menampilkan permainan sebegini. Dia sudah memenangi kejohanan Seluruh England tahun ini dan semuanya nampak bagus buatnya."

Yang jelas tidak mengetahui Zii Jia turut memuji peningkatan mendadaknya akhir-akhir ini dan apabila diberitahu wartawan dia membalas: "Sudah tentu saya berasa bagus. Selepas perlawanan ini saya berasa amat sedih dan kecewa tapi kini saya berasa agak lega sedikit."

Selain itu, Yang turut menamakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen dari Denmark sebagai seorang lagi pemain terbaik di dunia ketika ini.

"Satu penghormatan yang amat besar buat saya apabila Viktor menjemput saya untuk berlatih bersamanya di Dubai sebelum kempen Piala Sudirman. Saya banyak menimba ilmu dan taktikal berguna daripadanya sepanjang latihan itu," katanya yang muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Pan-Amerika, Kejohanan Antarabangsa Peru dan Masters Denmark tahun ini.

Yang bagaimanapun banyak terhutang budi kepada bekas jaguh dunia dari Denmark, Peter Gade yang mengasah bakatnya di Akademi Peter Gade di Copenhagen hingga namanya kini menjadi bualan dalam kalangan pemerhati dan peminat badminton di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 7:29 PM