Yang (kanan) bersama jurulatih Gade di Denmark. FOTO Instagram byang2001
Yang (kanan) bersama jurulatih Gade di Denmark. FOTO Instagram byang2001
Susunan Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Jika pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, pemain Guatemala, Kevin Cordon mencuri tumpuan apabila melakar kejutan layak ke separuh akhir perseorangan lelaki, kini giliran pemain muda Kanada, Brian Yang memukau peminat pada kejohanan Piala Thomas yang sedang berlangsung di Aarhus, Denmark.

Di Tokyo 2020, Yang, 19, menikmati Olimpik sulungnya dan tewas kedua-dua aksi peringkat kumpulan, namun kini dia tidak menoleh ke belakang apabila menewaskan pemain nombor 13 dunia dari Jepun, Kanta Tsuneyama pada aksi Kumpulan D yang turut disertai negara kita Malaysia.

Sekalipun Kanada tewas 1-4 di tangan Jepun, kemenangan Yang membuktikan kebangkitan hebatnya dalam beberapa bulan terakhir.

Dia berjaya memberi tentangan sengit kepada pemain nombor empat dunia Chou Tien Chen dari Taiwan pada Sukan Olimpik, menjuarai Masters Denmark selepas itu dan mengalahkan bintang Indonesia, Jonathan Christie pada Piala Sudirman minggu lalu.

Yang menganggap peningkatan prestasinya akhir-akhir ini susulan latihan intensif di Akademi Peter Gade di Denmark selain latihan 'sparring' singkat bersama pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen di Dubai.

"Saya bermain beberapa perlawanan yang bagus dengan pemain terbaik dunia, bermula di Olimpik menentang Chou, sekali lagi di Finland dan juga di sini.

"Oleh kerana saya pemain ranking bawahan, mereka lebih berasa tekanan. Saya rasa pemain bukan pilihan tidak banyak tekanan dalam keadaan seperti ini dan saya gembira untuk meraih kemenangan.

"Saya berlatih di Denmark sejak dua bulan terakhir dan saya juga berada di Dubai bersama Viktor. Jadi saya melalui pelbagai jenis corak latihan. Saya sentiasa menjaga tahap kecergasan dan itulah kuncinya untuk mengekalkan persembahan baik ini."

Yang berkata, tidak banyak perbezaan antara pendekatan latihan Gade, bekas pemain nombor satu dunia dari Denmark dan warga senegaranya, Axelsen.

"Dari segi rehat antara latihan mereka agak sama berbanding cara latihan Asia. Tapi dengan Peter, waktu senggangnya lebih pendek antara satu minit atau 45 saat manakala bersama Viktor lebih lama, kadang-kadang dua minit, ada kalanya lima minit."

Yang berdarah kacukan Cina Kanada, dilahirkan di Toronto, Ontario pada 25 November 2001. Dia muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Pan-Amerika di Guatemala City tahun ini selepas menundukkan rakan senegara Jason Ho-Shue.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 7:56 PM