Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann
Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann tanpa berselindung mahu skuad negara memenangi perlawanan pertama Kumpulan D kempen Piala Sudirman bertemu England, Isnin ini.

Ini kerana, hanya kemenangan dengan England pada saingan di Vantaa, Finland itu dapat mencerahkan peluang Malaysia meraih kedudukan dua terbaik kumpulan untuk menempah tiket ke suku akhir.

Jelas Choong Hann, dengan Jepun diletakkan selaku pilihan utama sekali gus diramal mengungguli peringkat kumpulan, maka sasaran paling realistik untuk skuad negara adalah perlu memastikan misi wajib menang ke atas England.

"Jepun adalah pasukan yang paling kuat dalam kumpulan. Jadi, kita perlu memberikan fokus yang lebih untuk pertemuan dengan England, kita mempunyai peluang untuk mengatasi mereka tetapi tetap perlu berwaspada," katanya.

Selepas England, skuad negara dijangka akan bertemu Mesir pada Selasa sebelum menamatkan kempen peringkat kumpulan bertemu Jepun pada Khamis.

"Kami akan cuba memberi saingan kepada Jepun yang mana kita juga berpeluang untuk melakar kejutan dalam acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki. Saya sentiasa percaya setiap pemain akan pamerkan prestasi terbaik mereka.

"Sama ada Kento Momota (perseorangan lelaki utama Jepun) berada pada tahap prestasi terbaik atau tidak, sukar untuk kita ramalkan. Namun, saya tetap anggap dia adalah pemain yang berwibawa," katanya.

Andai skuad negara menang dua perlawanan pertama bertemu England dan Mesir, pertemuan dengan Jepun bakal menjadi penentu juara dan naib juara kumpulan.

Sejak edisi pertama, pencapaian terbaik pasukan negara adalah melangkah ke separuh akhir pada 2009 di Guangzhou, China.

Ketika edisi terakhir 2019 di Nanning, China, pasukan negara kandas di suku akhir selepas tewas 0-3 kepada Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 7:59 PM