CHOONG Hann menjelaskan bahawa barisan muda inilah yang akan diletakkan sebagai sandaran membawa cabaran negara di Paris 2024. FOTO OWEE AH CHUN
CHOONG Hann menjelaskan bahawa barisan muda inilah yang akan diletakkan sebagai sandaran membawa cabaran negara di Paris 2024. FOTO OWEE AH CHUN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiga kejohanan berpasukan bermula dengan Piala Sudirman diikuti Piala Thomas dan Uber menjadi medan terbaik untuk pemain muda merasai bahang beraksi menentang pemain dalam kelompok teratas.

Jika sebelum ini mereka hanya berpeluang beraksi dalam siri tertentu saja seperti cabaran antarabangsa, kejohanan jelajah dunia siri 100, tiga kejohanan utama itu adalah masa terbaik untuk merasai peluang menentang 30 pemain terbaik dunia.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, pemain muda negara memerlukan sekurang-kurangnya satu tahun untuk melonjakkan ranking dan hanya dapat beraksi untuk kejohanan kelas kedua.

"Tiga kejohanan inilah peluang untuk kita membawa mereka, pecahkan benteng itu untuk kita bawa mereka terus merasai pengalaman beraksi menentang kelompok 30 terbaik dunia.

"Mereka sebelum ini memang tak berpeluang untuk bertembung atau berjumpa dan melihat sendiri dengan mata sejauh mana intensiti permainan lawan.

"Jadi pengalaman ini adalah bagus supaya mereka tahu sejauh mana beza dan level mereka berada agar mereka boleh kerja keras dalam gelanggang dan berlatih dengan objektif dan sasaran yang lebih jelas," katanya.

Ini kerana Choong Han menjelaskan bahawa barisan muda inilah yang akan diletakkan sebagai sandaran membawa cabaran negara di Paris 2024.

Antara pemain muda yang berada dalam senarai skuad negara adalah Ng Tze Yong, 21, yang menghuni ranking ke-91 dunia diletakkan sebagai pemain perseorangan lelaki kedua negara di selepas juara All England 2021 Lee Zii Jia, Cheam June Wei (70), Aidil Sholeh Ali Sadikin (122), Eoon Qi Xuan, (129), K Letshanaa (761), dan Siti Nurshuhaini Azman (447).

Dalam pada itu, pemain berusia 19 tahun Go Pei Kee dipilih untuk bergandingan bersama Lee Meng Yean dalam acara beregu wanita menggantikan Chow Mei Kuan yang mengumumkan persaraan selepas beraksi di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.

Skuad negara akan mengibarkan cabaran di Piala Sudirman yang akan berlangsung di Vantaa, Finland bermula 26 September hingga 3 Oktober yang mana Malaysia di undi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Mesir.

Manakala saingan Piala Thomas/Uber pula akan berlangsung di Aarhus Denmark pada 9 hingga 17 Oktober.

Skuad Piala Thomas negara diundi bersama Jepun, Kanada dan England dalam Kumpulan D manakala skuad wanita diundi dalam kumpulan D akan bertemu China, Denmark dan Kanada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 7:04 PM