Undian Piala Sudirman. FOTO FB BAM
Undian Piala Sudirman. FOTO FB BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Malaysia bakal berdepan cabaran naib juara 2019, Jepun apabila diundi bersama dalam Kumpulan D kejohanan Piala Sudirman yang bakal berlangsung di Vantaa, Finland bermula 26 September sehingga 3 Oktober depan.

Turut bersama-sama skuad negara dan negara Matahari Terbit dalam kejohanan berpasukan campuran itu adalah England dan Mesir.

China selaku juara terbanyak 11 kali dan memegang status penyandang juara, berada dalam Kumpulan A bersama-sama Thailand, India dan tuan rumah, Finland.

Menerusi undian hari ini yang dilakukan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), juara empat kali, Korea Selatan berada dalam Kumpulan B bersama-sama Taiwan, Tahiti dan Jerman.

Juara edisi sulung 1989, Indonesia pula diundi bersama Denmark, Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC) dan Kanada dalam Kumpulan C.

Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak beraksi di suku akhir.

Sejak edisi pertama, pencapaian terbaik pasukan negara adalah melangkah ke separuh akhir pada 2009 di Guangzhou, China.

Ketika edisi terakhir 2019 di Nanning, China, pasukan negara kandas di suku akhir selepas tewas 0-3 kepada Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 5:57 PM