AARON menerima replika cek berjumlah RM53,000  di Kompleks Seri Negeri, hari ini.  FOTO Bernama
AARON menerima replika cek berjumlah RM53,000 di Kompleks Seri Negeri, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Melaka: Tiada istilah rehat panjang buat pemain badminton beregu negara Aaron Chia, sebaik saja meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.

Bakal mengharungi dua kejohanan penting selepas ini iaitu Piala Thomas dan Piala Sudirman, Aaron menjelaskan cuti rehat 10 hari diberikan selepas pulang dari Tokyo, sudah memadai baginya untuk mengekalkan momentum bagi menghadapi kedua-dua saingan itu.

"Saya akan kembali berlatih pada 24 Ogos dan akan berbincang dengan barisan kejurulatihan bagi memantapkan prestasi," katanya kepada pemberita selepas menerima Hadiah Insentif Kemenangan di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Seri Negeri, hari ini.

Dengan misi Malaysia membawa pulang Piala Thomas itu yang akan diketuai pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, serta pasangan beregu lelaki utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik, atlet kelahiran Batu Berendam, Melaka itu mengakui tekanan yang dirasai sama seperti ketika beraksi di pentas Olimpik.

"Memang ada (tekanan) tapi akan buat ia sebagai motivasi untuk teruskan perjuangan. Sebab itu kena lebih banyakkan persediaan sebagaimana nak pergi Olimpik malah lebih lagi, kerana Piala Thomas adalah acara berpasukan. Jadi, kalau nak menang, kena menang sebagai satu pasukan, tak boleh bermain untuk diri sendiri," katanya.

Piala Sudirman 2021 dijadual berlangsung di Vantaa, Finland dari 26 Sept hingga 3 Okt, manakala Piala Thomas yang ditunda dari tahun lepas, bakal diadakan di Aarhus, Denmark dari 9 hingga 17 Okt.

Aaron yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik meraih pingat gangsa selepas menumpaskan beregu berpengalaman Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Terdahulu pada majlis penyampaian insentif kemenangan tersebut, Aaron menerima RM50,000 atas kejayaan di Olimpik Tokyo itu dan tambahan RM3,000 sebagai ganjaran mewakili negara pada temasya sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 10:22 PM