CHONG Wei bersama Zii Jia.
CHONG Wei bersama Zii Jia.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tiada yang baru saja lahir sudah pandai berjalan. Perkara terbabit ditekankan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terhadap prestasi pemain muda badminton negara pada temasya Olimpik Tokyo lalu.

Beliau berkata, pemain seperti perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah pasti mendapat pengajaran bermakna apabila tewas pada lawan masing-masing sekali gus akan tampil lebih meyakinkan pada temasya Olimpik Paris. Katanya, ketika ini, persiapan rapi harus dilakukan berikutan tempoh tiga tahun untuk beraksi di temasya paling besar dunia itu boleh dikatakan semakin suntuk sekali gus memerlukan komitmen tinggi daripada pemain.

"Kekalahan dan kemenangan barisan pemain muda pada temasya Olimpik lalu adalah permulaan kepada mereka kerana paling penting tiga tahun akan datang kelak.

"Mereka sudah kena mulakan latihan dan masing-masing sudah tentu mengetahui kelemahan diri yang perlu diperbaiki nanti.

"Zii Jia sudah belajar apabila tewas kepada pemain China Chen Long, manakala pasangan beregu negara pula mempunyai matlamat lebih tinggi lagi," katanya.

Chong Wei berkata, barisan pemain muda juga akan diuji menerusi beberapa kejohanan akan datang seperti Piala Sudirman dan Piala Thomas sekali gus menjadi ukuran kepada kekuatan mereka.

"Ini sebahagian daripada persediaan pasukan untuk ke kejohanan lebih besar iaitu Olimpik sekali gus perlu lebih fokus jika mahu mendapatkan emas kelak," katanya.

Prestasi barisan pemain muda badminton negara pada temasya Olimpik 2020 boleh dikatakan membanggakan terutama membabitkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang merangkul pingat gangsa.

Selain itu, Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 dan membuat kemunculan pertama di pentas Olimpik berjaya melangkah ke pusingan 16 terbaik namun tewas kepada jaguh China, Chen Long.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 10:14 PM