ZII Jia fokus misi Olimpik Paris 2024. FOTO Bernama
ZII Jia fokus misi Olimpik Paris 2024. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Dah namanya atlet Malaysia, pastinya perkara pertama dirindui adalah makanan istimewa yang tidak terdapat di negara lain.

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang selamat tiba di tanah air semalam, mengakui merindui nasi nasi lemak dan menjadi perkara pertama yang diidamkannya sebaik tiba di Malaysia.

Zii Jia dan pemenang pingat gangsa negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tiba bersama kumpulan kontinjen Malaysia seramai 23 orang termasuk 11 atlet sukan memanah, olahraga, menembak dan badminton di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menamatkan cabaran masing-masing di Tokyo.

Kata Zii Jia, perjuangan akan diteruskan selepas ini dengan misi Paris 2024 dan dia tidak akan putus asa untuk mengejar lebih banyak kejayaan.

Selepas apa dilalui, pemain berusia 22 tahun itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib.

"Terima kasih kepada semua yang terbabit, KBS (Kementerian Belia dan Sukan), Institut Sukan Negara Malaysia dan Majlis Sukan Negara yang memberi sokongan kepada saya selama ini.

"Tidak dilupa juga kepada yang dihormati Presiden MOM dan juga Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang sering memberi bimbingan kepada saya.

"Saya juga berasa sangat bertuah kerana dibantu Datuk Lee Chong Wei selaku CDM (Chef de Misson) kali ini yang sering memberi kata kata semangat dan berkongsi pengalaman beliau kepada saya selama ini.

"Seterusnya kepada semua jurulatih yang terbabit secara langsung dan tidak langsung serta pasukan yang sering memberi kerjasama dan bantuan kepada saya sepanjang Road To Tokyo 2021. Terima kasih untuk segalanya."

Zii Jia menamatkan aksi di temasya Olimpik Tokyo selepas tewas pada suku akhir di tangan Cheng Long dalam pertarungan tiga set 21-8, 19-21, 5-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 2:18 PM