AKSI Aaron dan Wooi Yik meraikan kemenangan selepas menewaskan beregu veteran Indonesia.
AKSI Aaron dan Wooi Yik meraikan kemenangan selepas menewaskan beregu veteran Indonesia.
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: "Detik yang tidak akan saya lupakan seumur hidup," itu luahan bintang beregu negara Soh Wooi Yik, yang meraih pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik Tokyo bersama gandingannya Aaron Chia, Sabtu lalu.

Aaron-Wooi Yik menundukkan juara dunia tiga kali dari Indonesia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan 17-21, 21-17, 21-14 pada perlawanan penentuan pingat gangsa sekali gus menghadirkan pingat sulung kontinjen negara pada temasya kali ini.

"Saya amat menghargai perlawanan menentang Hendra-Ahsan sebab mereka adalah idola saya ketika zaman remaja. Tahniah kepada Lee Yang-Wang Chi Lin (Taiwan) dan Li Junhui-Liu Yuchen (China)," merujuk kepada pemenang pingat emas dan perak beregu lelaki Olimpik Tokyo.

"Pertama sekali, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada keluarga, jurulatih, rakan sepasukan, staf sokongan di BAM (Persatuan Badminton Malaysia), kawan-kawan dan ramai lagi yang memberi nasihat dan menolong saya selama ini serta semua penyokong Malaysia. Semua ini tidak akan terjadi tanpa usaha kalian," tulisnya dalam laman Instagram sebelum berlepas pulang ke tanah air hari ini.

Aaron-Wooi Yik menamatkan penantian dan keresahan rakyat Malaysia apabila mengutip pingat pertama pada Olimpik Tokyo yang berakhir hujung minggu ini.

"Saya akan balik ke tanah air hari ini dengan penuh semangat dan terus berjuang demi Malaysia," tulisnya.

Anak saudara bekas pemain badminton negara Soh Beng Kiang itu dan Aaron tidak mempunyai rekod baik menentang Hendra-Ahsan apabila hanya menang sekali dalam lapan pertemuan sebelum aksi Sabtu lalu, termasuk kekalahan pada aksi peringkat kumpulan.

Namun mereka tidak mengendahkan semua rekod itu untuk melakar kejayaan peribadi dan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 1:22 PM