Aksi Aaron (kanan) dan Wooi Yik ketika menentang pasangan Indonesia pada penentuan pingat gangsa di temasya Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
Aksi Aaron (kanan) dan Wooi Yik ketika menentang pasangan Indonesia pada penentuan pingat gangsa di temasya Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
BERNAMA

Tokyo: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghargai sokongan seluruh rakyat Malaysia sehingga menyaksikan mereka dapat meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pasangan muda negara yang pertama kali beraksi di pentas Olimpik itu menyifatkan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak di tanah air membakar semangat mereka untuk terus memberikan aksi terbaik biarpun pingat pertama kepada negara itu bukannya kilauan emas.

"Terima kasih kepada anda semua yang menyokong kami... rakyat Malaysia, keluarga, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan barisan kejurulatihan.

"Kalau bukan sokongan daripada anda semua, kita mungkin tidak akan berada seperti sekarang, raih pingat pada Sukan Olimpik," katanya.

JAGUH basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menang pingat perak keirin lelaki pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, hari ini. FOTO Bernama
JAGUH basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menang pingat perak keirin lelaki pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, hari ini. FOTO Bernama

Pasangan Aaron-Wooi Yik meraih gangsa, pingat pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo, selepas lebih seminggu temasya sukan terbesar di dunia itu dibuka secara rasmi pada 23 Julai lalu.

Aaron-Wooi Yik bangkit bertenaga untuk mengetepikan cabaran beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung selama 52 minit di Musashino Forest Sport Plaza, di sini, malam ini.

Aaron berkata walaupun tumpas pada set pertama, mereka berjaya menyerap tekanan seterusnya bangkit meraih kemenangan pada dua set seterusnya.

Beliau berkata kejayaan itu juga menjadi motivasi berharga kepada karier mereka dalam menghadapi kejohanan-kejohanan besar pada masa akan datang.

"Kejayaan itu satu permulaan yang memberi keyakinan kepada kita dalam menghadapi kejohanan akan datang," katanya.

Sementara itu, Wooi Yik berkata biarpun tumpas di set pertama, mereka tidak berputus asa, sebaliknya mereka percaya kepada diri sendiri bahawa mereka mampu meraih kemenangan pada perlawanan itu.

"Sebelum turun beraksi kita sudah merangka strategi kerana mereka beregu berpengalaman, namun kita tewas di set pertama. Pada set kedua, kita tidak berputus asa dan bermain bermati-matian kerana kita percaya kepada diri sendiri, akhirnya kita berjaya tewaskan mereka pada set ketiga," katanya.

Wooi Yik berkata walaupun bukan kilauan emas, mereka tetap bangga dapat menyumbangkan pingat pertama kepada negara pada temasya sukan berprestij itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 10:58 PM