PENG Soon-Liu Ying berjalan dengan penuh kekecewaan selepas tumpas buat kali kedua di Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
PENG Soon-Liu Ying berjalan dengan penuh kekecewaan selepas tumpas buat kali kedua di Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Perjuangan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying di Tokyo terhenti apabila mereka tewas perlawanan kedua peringkat kumpulan kepada beregu Jerman, Mark Lamfuss-Isabel Herttrich.

Peng Soon dalam entri di laman sosial Instagramnya memohon maaf kepada semua kerana misi untuk memburu pingat dan mengulangi pencapaian lima tahun lalu tidak kesampaian.

"Ia bukan prestasi terbaik kami (perlawanan bertemu Jerman), kami mohon maaf kepada semua. Kami juga mahu menang dalam perlawanan ini dan kami sudah berlatih lama untuk menghadapi Olimpik.

"@gohliuying, tidak mengapa, jangan putus asa. Kita menang bersama, kita kalah pun bersama," kata Peng Soon yang memuat naik entri di laman Instragram miliknya selepas tewas kepada Lamsfuss-Isabel.

Kekalahan itu bermakna peluang mereka untuk mara ke suku akhir tidak kesampaian apabila menduduki kedudukan tercorot peringkat Kumpulan D.

Dalam aksi 41 minit itu Peng Soon-Liu Ying yang menghuni ranking ketujuh dunia tunduk kepada Lamfuss-Isabel 12-21, 15-21.

Mereka sebelum ini tewas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 18-21, 21-10, 16-21 semalam.

Ia sekali gus menyaksikan impian meraih satu pingat mengulangi pencapaian lima tahun lalu di Rio terkubur.

Peng Soon-Liu Ying bagaimanapun akan melengkapkan saingan kumpulan menentang pasangan nombor dua dunia Wang Yilyu-Huang Dongping dari China, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 4:26 PM