CHONG Wei ambil berat prestasi Zii Jia.
CHONG Wei ambil berat prestasi Zii Jia.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei secara terbuka menyatakan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia sememangnya mempunyai peluang untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik Tokyo.

Ini kerana, Chong Wei yang juga Chef de Mission (CDM) kontinjen negara berkata, pentas Olimpik kali ini cukup berbeza berbanding sebelum ini kerana tidak banyak kejohanan dapat disertai oleh atlet berikutan pandemik Covid-19.

"Kita tidak tahu bagaimana persediaan pemain seperti China dan Indonesia. Seluruh England juga banyak negara tidak beraksi dan semua tertanya-tanya. Zii Jia memang ada peluang (memenangi pingat).

''Tapi bagaimana dia membuat keputusan dan mengawal tekanan itu adalah paling penting. Tekanan memang sentiasa ada. Bohonglah jika ada (atlet) yang mengatakan tiada tekanan kerana 32 juta rakyat Malaysia mahu anda memenangi pingat," katanya.

Chong Wei juga mendedahkan meskipun sudah bersara, dia sentiasa mengambil berat mengenai prestasi Zii Jia dengan bertanyakan sendiri mengenai pemenang Seluruh England itu kepada bekas jurulatihnya, Hendrawan.

"Saya selalu hubungi Hendrawan bagaimana persiapan Zii Jia. Maklum balas yang diterima ialah dia melakukan persediaan cukup baik. Saya rasa selepas Zii Jia memenangi gelaran Seluruh England, dia lebih matang dan yakin dengan kemampuan diri sendiri.

"Memang satu tanggungjawab yang berat dipikul Zii Jia selepas saya bersara. Ini adalah normal. Tapi saya yakin jurulatih akan sentiasa membantunya terutama bagaimana untuk mengawal tekanan di Olimpik," katanya.

Zii Jia menerusi laporan Arena Metro hari ini berkata, pengalaman tidak dapat dilupakan di Olimpik adalah apabila melihat Chong Wei tumpas di tangan Lin Dan dalam perlawanan akhir London 2012.

Baginya, memori itu boleh dijadikan pembakar semangat atau peluang untuk membalas dendam ke atas pemain dari China seperti Chen Long.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 8:48 PM