Datuk Lee Chong Wei (kiri) dan Lee Zii Jia dalam satu majlis sebelum ini.
Datuk Lee Chong Wei (kiri) dan Lee Zii Jia dalam satu majlis sebelum ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Impian Datuk Lee Chong Wei untuk menghadiahkan emas buat negara di temasya Olimpik tidak pernah terkubur dan kini beliau berharap biarpun tidak tampil sebagai pemain namun pengalamannya dan tugasnya sebagai Chef de Mission akan membantu atlet negara merealisasikan emas di temasya Olimpik Tokyo nanti.

Katanya, beliau tidak kisah jika emas pertama itu bukannya datang dari sukan badminton kerana Azizulhasni Awang (basikal) dan atlet terjun negara juga mempunyai peluang.

"Saya tak kisah emas pertama itu datang dari sukan apa. Apa yang penting saya dapat bawa atlet meraih emas di Olimpik untuk negara.

"Memang itu menjadi impian saya. Azizul atau penerjun negara juga boleh. Ketika ini ramai juga atlet lain sedang buru tempat ke Tokyo," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perjanjian kerjasama antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Yonex di Bukit Kiara, hari ini.

Sementara itu, Chong Wei berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk berkongsi pengalamannya menguruskan sumber kewangan dengan pemain perseorangan lelaki negara. Lee Zii Jia.

Ia mengulas perkara itu ketika selepas Juara Seluruh England itu menerima durian runtuh dari pelbagai pihak berikutan kejayaannya itu.

"Dia (Zii Jia) ada jumpa saya dan saya tiada masalah untuk membantu dia. Saya boleh bantu dia dan kongsi apa yang saya lalu selama 19 tahun.

"Saya boleh kongsi macam mana saya uruskan pendapatan dan tekanan sama ada dari penaja ataupun dalam karier saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 11:46 PM