QI Xuan nyata sukar untuk ditandingi Letshaana yang menutup perlawanan terakhir dengan kemenangan straight set 21-10, 21-18. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Badminton
QI Xuan nyata sukar untuk ditandingi Letshaana yang menutup perlawanan terakhir dengan kemenangan straight set 21-10, 21-18. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Badminton
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Eoon Qi Xuan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kesemua tiga perlawanan sekali gus mengesahkan status sebagai juara perseorangan wanita 100Plus Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan Peringkat Akhir hari ini.

Perlawanan terakhir bagi kategori perseorangan wanita di antara Qi Xuan dan K Lethsaana menjadi tumpuan bagi penentuan juara dan naib juara.

Qi Xuan nyata sukar untuk ditandingi Letshaana yang menutup perlawanan terakhir dengan kemenangan straight set 21-10, 21-18.

"Saya berpuas hati dapat menang kesemua perlawanan dan mencapai matlamat yang ditetapkan iaitu mengawal mental agar tidak terlalu gopoh mematikan perlawanan.

"Namun, kedudukan saya dengan pemain senior masih lagi jauh dan perlukan latihan terutama kekuatan kaki," kata Qi Xuan.

Sementara itu, dalam aksi perseorangan lelaki, Justin Hoh melakar kemenangan ketiga selepas menundukkan Ong Ken Yon 22-20, 21-10 membolehkannya merampas kedudukan teratas dan tampak hampir pasti untuk bergelar juara.

Beliau berkongsi tiga mata dengan Wyman Goh yang turut mencatat kemenangan ke atas Ter Chun Long 21-18, 21-14.

Saingan beregu lelaki pula menyaksikan gandingan senior, Lwi Sheng Hao-Yap Roy King mengesahkan status sebagai juara manakala satu lagi pasangan senior, Choong Hon Jian-Nur Firdaus Azman menamatkan saingan kumpulan beregu lelaki di tangga kedua.

Manakala beregu wanita menjadi milik Teoh Mei Xing-Yap Ling yang melakar kemenangan dalam kesemua dua perlawanan untuk mengungguli carta kedudukan.

Aksi terakhir hari ini, Mei Xing dan Yap Ling dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan gandingan Pearly Tan-Toh Ee Wei dalam aksi tiga set, 21-17, 18-21, 21-18.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 8:43 PM