Poopathi ungguli kedudukan teratas kumpulan. FOTO Ihsan BAM
Poopathi ungguli kedudukan teratas kumpulan. FOTO Ihsan BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain pilihan dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan play-off 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan 2020 ternyata tidak menghadapi masalah mara ke peringkat seterusnya apabila berjaya melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Perlawanan membabitkan kumpulan A dan B perseorangan lelaki menyaksikan V Poopathi dan Eogene Ewe Eon mengungguli dua kedudukan teratas apabila berjaya menewaskan lawan masing-masing.

Walaupun pada permulaan, Poopathi dipaksa bekerja keras, pengalaman ternyata memberi kelebihan kepadanya untuk menundukkan Dylan Ooi Ding Sheng 21-19, 22-20.

Poopathi berkata, kemenangan terbabit jelas meniup semangat untuk dia terus mengekalkan aksi cemerlang pada perlawanan seterusnya.

"Kemenangan ini amat bermakna untuk menaikkan semangat saya dan meningkatkan keyakinan serta mengukuhkan lagi corak permainan untuk perlawanan seterusnya.

"Walaupun bermain dengan baik saya agak gugup di awal permainan kerana banyak melakukan kesilapan tetapi berjaya mengawalnya semula dan mengurangkan kesilapan," katanya.

Sementara itu, Eogene kehilangan rentak di babak pertama, namun bangkit di dua set berikutnya untuk menundukkan Anson Cheong 18-21, 21-16, 21-11.

"Set pertama agak teruk dan banyak beri ruang mudah kepada lawan untuk mencari mata.

"Keadaan fizikal saya lebih baik berbanding pertandingan dua minggu lalu dan akan cuba tingkatkan lagi untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Selain itu, Siti Nurshuhaini Azman dan Khor Jing Wen pula mengetuai cabaran bagi perseorangan perempuan kumpulan A dan B.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 7:49 PM