RONALDO (kiri) dan Khabib bertemu pada 2018. FOTO Agensi
RONALDO (kiri) dan Khabib bertemu pada 2018. FOTO Agensi
Agensi

Turin: Cristiano Ronaldo memilih Khabib Nurmagomedov memenangi perlawanan apabila bertemu Justin Gaethje pada UFC 254.

Khabib yang belum pernah tewas, akan beraksi di Fight Island minggu depan bertemu juara interim, Gaethje dalam kategori lightweight.

Ronaldo yang juga bintang Juventus berusia 35 tahun, ditanya ramalannya berhubung perlawanan itu.

Ikon Portugal itu yang ketika ini menjalani pengasingan diri selepas didapati positif Covid-19, memilih Nurmagomedov, 32, untuk mempertahankan kejuaraannya.

Ronaldo ketika bersiaran langsung di Instagram menjawab: "Sudah tentu Khabib akan memenangi perlawanan itu. Saudara saya, Insya-Allah!"

Kedua-dua atlet berstatus bintang itu pernah bertemu pada 2018 yang menyaksikan mereka bergambar bersama-sama dengan Khabib memegang jersi Real Madrid.

Ronaldo adalah peminat UFC dan sebelum ini pernah berlatih bersama seteru utama Khabib, Conor McGregor, 32.

McGregor dan pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali itu bertemu di Las Vegas pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 11:16 AM