Tonggak import Terengganu FC, Dominique Da Sylva (dua kiri) menggelecek bola sambil dihalang oleh penjaga gol Pahang pada aksi Liga Super baru-baru ini. FOTO Ghazali Kori
Tonggak import Terengganu FC, Dominique Da Sylva (dua kiri) menggelecek bola sambil dihalang oleh penjaga gol Pahang pada aksi Liga Super baru-baru ini. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas membawa Terengganu FC (TFC) mengakhiri Liga Super di tangga ketiga, pengendalinya Nafuzi Zain kini fokus untuk membantu pasukan melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini yang bakal bermula 6 November ini.

Pengendali kelahiran Kelantan itu bagaimanapun sedar laluan berliku bakal dilalui semua pasukan termasuk skuadnya lebih-lebih lagi format piala berprestij di Malaysia itu diubah iaitu secara kalah mati berbanding peringkat kumpulan sebelum ini. Namun Nafuzi mahukan anak buahnya terus positif bersaing dalam kejohanan itu selain meletakkan harapan yang tinggi agar tiada krisis kecederaan melanda kem pasukannya.

Berdasarkan rekod, jurulatih muda itu pernah membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia pada 2018 ketika menjadi penolong jurulatih kepada Irfan Bakti Abu Salim.

"Kita mahu pemain memberi fokus sepenuhnya kepada saingan Piala Malaysia musim ini kerana kejohanannya berbeza dengan Liga Super, malah setiap perlawanan saya jangkakan tekanan pastinya dirasai pasukan daripada Liga Super kerana dilangsungkan secara kalah mati tidak seperti biasa sebagaimana sebelum ini.

Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain.
Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain.

"Situasi ini bagi saya bukan perlawanan yang mudah buat kami kerana masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki, jadi kita guna masa yang ada ini untuk persediaan rapi selain pemain yang cedera kembali pulih seperti biasa," katanya.

Ketika ditanya sasaran skuadnya, Nafuzi dibantu legenda Terengganu, Subri Sulong dan Rosdi Talib mengemudi pasukan itu menegaskan sudah pasti mahu melangkah lebih jauh apatah lagi musim pertama membimbing pasukan daripada Liga Super.

"Namun saya perlu realistik kerana semua pasukan mengimpikan sasaran yang sama, jadi saya ingatkan pemain perlu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan selain memperagakan aksi sebenar.

"Mengenai pertahanan import, Babacar Diallo yang baharu pulih daripada kecederaan, kami akan menilai prestasi dan kecergasan pemain kelahiran Senegal itu terlebih dahulu sebelum menyenaraikan semula dalam pasukan.

"Kita tahu pemain itu sudah pulih, jadi dengan tempoh yang ada sebelum saingan Piala Malaysia bermula kita akan putuskan kedudukan Diallo dalam latihan, " katanya yang sebelum ini meminjam pemain daripada pasukan Terengganu FC II (TFC II), Argzim Redzovic untuk memperkuatkan jentera pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 6:49 PM