JOTA meraikan jaringannya ketika bertemu Sweden. FOTO AFP
JOTA meraikan jaringannya ketika bertemu Sweden. FOTO AFP
AFP

Lisbon: Ketiadaan Cristiano Ronaldo berikutan positif Covid-19 tidak memberi masalah kepada Portugal yang mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sweden sekali gus kekal menduduki tangga teratas peringkat kumpulan saingan Liga Negara-Negara UEFA.

Dua gol Diogo Jota dan satu lagi menerusi Bernardo Silva mencukupi untuk Portugal mengutip 10 mata menyamai Perancis di tangga kedua Kumpulan 3 Liga A.

Ronaldo yang menyaksikan perlawanan itu di televisyen dengan memakai jersi Portugal, diminta untuk meninggalkan pasukan kebangsaan selepas positif Covid-19, Selasa lalu.

Penyerang Juventus itu meninggalkan Itali untuk melalui tempoh kuarantin sendiri.

Dengan kekalahan terbaharu itu, Sweden tewas kesemua empat perlawanan dan kini menduduki tangga terbawah peringkat kumpulan.

Sweden ketinggalan tiga mata di belakang Croatia yang tewas 1-2 kepada Perancis di Zagreb.

Silva menjaringkan gol pertama pada minit ke-21 dan Jota menambah gol kedua sebelum tamat babak pertama.

Jota yang baru menyertai Liverpool menambah gol ketiga minit ke-72 menerusi gerakan solo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 9:08 AM