Southgate (kanan) berbincang dengan Kane menjelang aksi Liga Negara-Negara. FOTO Agensi
Southgate (kanan) berbincang dengan Kane menjelang aksi Liga Negara-Negara. FOTO Agensi
Agensi

London: Pengendali England, Gareth Southgate berharap Harry Kane akan cergas sepenuhnya bagi mengalas jentera serangan England berdepan Denmark dalam perlawanan Liga Negara-Negara, awal pagi Khamis ini.

Kane bintang Tottenham Hotspur tidak beraksi ketika perlawanan persahabatan berdepan Wales kerana mengalami kecederaan paha, Jumaat lalu.

Penyerang berusia 27 tahun itu berada dalam senarai pemain simpanan sebelum menggantikan Dominic Calvert-Lewin pada minit ke-66 ketika skuad Three Lions mencatat kemenangan 2-1 ke atas Belgium, semalam.

Southgate menaruh keyakinan kapten England itu dapat diturunkan dalam kesebelasan utama pasukannya berdepan Denmark.

"Harry menjalani latihan seperti biasa. Dia seperti kurang berpuas hati dengan pergerakannya jadi dia bersama pasukan perubatan untuk beberapa hari sebelum ini.

"Dia mengetahui kemampuannya untuk kembali pulih, tetapi dia memerlukan tumpuan yang baik.

"Saya berasakan keyakinannya memuncak selepas perlawanan menentang Belgium," menurut Southgate.

Sebelum ini, ketua jurulatih Spurs, Jose Mourinho dilaporkan menghubungi Southgate untuk tidak menggunakan Kane dalam perlawanan antarabangsa England ketika Tottenham berdepan jadual perlawanan padat bagi permulaan musim 2020-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 11:00 AM