Khairul Idham Pawi (kanan) gagal mengutip mata selepas sembilan perlumbaan.
Khairul Idham Pawi (kanan) gagal mengutip mata selepas sembilan perlumbaan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Baki enam pusingan perlumbaan termasuk Grand Prix (GP) Perancis hujung minggu ini boleh dianggap sebagai talian hayat untuk pelumba Moto3 negara dari pasukan Petronas Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi membuktikan kemampuannya atau berisiko untuk disingkirkan.

Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali berkata, sebelum ini peluang dan ruang sudah diberikan sepenuhnya kepada Khairul, namun pelumba yang mendapat gelaran Super KIP itu masih mempamerkan prestasi mendatar dan gagal mengutip sebarang mata.

"Pada awalnya kami memang rancang nak sambung kontraknya. Kami ambil kira beberapa masalah dihadapinya termasuklah memberi ruang kepadanya selepas melakukan pembedahan di jari kelingking.

"Sasaran untuknya terus dilonggarkan. Bukan nak minta naik podium, penamat ke-10 terbaik atau pun kutip mata. Tapi kami tak boleh terima keputusannya yang sentiasa di kelompok belakang.

"Selaku pelumba yang pernah ada kaliber memenangi perlumbaan, tidak sepatutnya dia menamatkan perlumbaan di kedudukan belakang kerana saya masih percaya dia ada kemampuan untuk dapatkan keputusan lebih baik.

"Jadi kami akan terus meneliti prestasinya pada baki enam pusingan ini. Terus terang saya katakan kami memang risau dengan prestasi KIP dan saya amat mengharapkan dia dapat membuktikan sesuatu," katanya.

Pelumba Petronas SRT, Khairul Idham Pawi.
Pelumba Petronas SRT, Khairul Idham Pawi.

Razlan juga berada di dalam dilema kerana jika tidak menyambung kontrak Super KIP pada musim depan, maka pasukan dari Malaysia itu kemungkinan besar tidak diwakili pelumba negara lagi.

"Sebab kita masih tidak mempunyai pelumba pelapis yang bersedia beraksi di Kejohanan Dunia. Kami mahukan pelumba Malaysia yang mampu dapat keputusan baik di setiap perlumbaan," katanya.

Razlan juga menegaskan tiada lagi alasan untuk KIP kerana spesifikasi jentera yang ditunggangnya adalah hampir sama dengan rakan sepasukannya, John McPhee yang kini sedang bersaing memburu kejuaraan dunia Moto3.

"Hampir 90 peratus jentera KIP sama dengan McPhee. Perbezaan yang lain hanya seperti dari segi gaya tunggangan dan fizikal kedua-dua pelumba yang perlu disesuaikan dengan jentera," katanya.

Selepas sembilan perlumbaan, Super KIP masih gagal mengutip mata ketika McPhee pula menduduki tangga ketiga dengan 98 mata, kurang 24 mata berbanding pelumba Jepun, Ai Ogura yang memimpin kelas Moto3 dengan 122 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 9:05 PM