NADAL berjaya menempah slot ke separuh akhir selepas mengalahkan Sinner awal pagi tadi. FOTO AFP
NADAL berjaya menempah slot ke separuh akhir selepas mengalahkan Sinner awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Paris: Rafael Nadal mara ke separuh akhir Roland Garros buat kali ke-13 dengan kemenangan 'straight set' ke atas pemain remaja Itali, Jannik Sinner namun dia mendakwa sangat 'bahaya' menamatkan aksi jam 1.30 pagi tatkala cuaca mencatatkan 12 darjah selsius.

Nadal, yang juga juara 12 kali, mengalahkan Sinner, 19, 7-6 (7/4), 6-4, 6-1 bagi mengumpul 98 kemenangan dalam 100 penampilan di Terbuka Perancis.

Dia akan berdepan Diego Schwartzman, di mana dia memegang rekod mengatasi pemain Argentina itu 9-1, ketika dalam usaha untuk menyamai rekod 20 kejuaraan utama yang dicatatkan Roger Federer.

Bagaimanapun, Nadal yang sudah terbiasa dengan sinar matahari di Mallorca tidak berpuas hati dengan penganjur meletakkan lima perlawanan di gelanggang utama di Court Philippe Chatrier.

"Saya tahu aksi bola sepak berlangsung dalam keadaan seperti ini tapi mereka sentiasa bergerak sepanjang masa," kata Nadal

Schwartzman yang juga pilihan ke-12 berjaya mengalahkan juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan pilihan ketiga, Dominic Thiem dalam aksi epik lima set untuk membolehkannya kali pertama mara ke separuh akhir Grand Slam.

Pemain berusia 28 tahun itu mencatat kemenangan 7-6 (7/1), 5-7, 6-7 (6/8), 7-6 (7/5), 6-2.

Ia adalah satu lagi aksi maraton yang perlu ditempuhi Thiem iaitu naib juara dua tahun lalu di Paris, apabila pada pusingan keempat dia terpaksa mengharungi perlawanan lima set dan tiga jam setengah untuk mengalahkan Hugo Gaston

"Dominic adalah salah seorang pemain yang hebat. Dia adalah kawan baik saya dan saya sangat menghormatinya," kata Schwartzman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 12:16 PM