OZIL (kiri) sedia menggunakan wang dari poketnya sendiri untuk menyelamatkan ‘Gunnersaurus’. FOTO Agensi
OZIL (kiri) sedia menggunakan wang dari poketnya sendiri untuk menyelamatkan ‘Gunnersaurus’. FOTO Agensi
Agensi

London: Mesut Ozil membuatkan Arsenal berada di dalam dilema dengan menawarkan diri untuk menggunakan wangnya sendiri bakal membolehkan individu yang menyarung maskot 'Gunnersaurus' dapat meneruskan pekerjaannya dan kekal dengan kelab berkenaan.

Jerry Quy, yang menjalankan peranan itu selama 27 tahun serta melakukan beberapa lagi kerja lain di kelab berkenaan, hilang pekerjaannya apabila turut terbabit dalam proses pengurangan kos kelab akibat pandemik Covid-19.

Posisinya itu, yang sudah digalas sejak 'Gunnersaurus' diperkenalkan pada 1993, dianggap tidak lagi penting apabila perlawanan sejak kebelakangan ini dilangsungkan tanpa kehadiran penonton.

Bagaimanapun, Quy dan Ozil sangat popular dalam kelab berkenaan mula menjadi sebutan apabila kedua-duanya dikatakan bakal berdepan nasib sama.

Kontrak Ozil bakal berakhir pada musim panas akan datang.

"Saya sangat sedih Jerry Quy atau maskot kami yang sangat terkenal dan setia terbabit dalam pengurangan kos kelab selepas dia sudah berkhidmat selama 27 tahun/

"Disebabkan itu, saya menawarkan diri untuk membayar kembali Arsenal dengan gaji penuh maskot hijau kami itu, selagi saya masih menjadi pemain Arsenal. Jadi Jerry boleh terus melakukan tugas yang sangat disayanginya," kata Ozil.

Berita penyingkiran Quy itu hadir di waktu yang bukan sepatutnya sama seperti pengumuman pemberhentian 55 pekerja sebelum ini.

Pengumuman itu dibuat sebelum Willian menyertai Arsenal dengan nilai gaji £220,000 (RM1.1 juta) seminggu untuk kontrak selama tiga tahun.

Berita mengenai penyingkiran Quy hadir pada hari terakhir jendela perpindahan dengann menyaksikan Arsenal membelanjakan £45 juta (RM241 juta) menandatangani Thomas Partey yang turut menerima bayaran gaji £230,000 (RM1.17 juta) seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 10:30 AM