Da Costa produk akademi Red Bull. FOTO Agensi
Da Costa produk akademi Red Bull. FOTO Agensi
Agensi

London: Prinsipal Red Bull, Christian Horner berkata, ia akan menjadi lebih menarik untuk melihat juara Formula E, Antonio Felix da Costa beraksi Formula Satu (F1) jika diberi peluang.

Pada awal kariernya, Da Costa adalah sebahagian daripada pelumba program pembangunan Red Bull yang diketuai oleh Dr Helmut Marko, yang menyaksikannya mengambil bahagian sebagai pemandu ujian Force India (2010) dan Red Bull (2010-13).

Ketika pelumba Portugal itu menamatkan saingan di tempat ketiga pada kejohanan Formula Renault 3.5 2013, dia dikatakan akan beraksi dalam F1 bersama Toro Rosso namun perkara itu tidak berlaku.

Tempat berkenaan diisi juara GP3, Daniil Kvyat, manakala Da Costa menghabiskan masanya di DTM bersama BMW, sebelum membuat penampilan sulung di Formula E pada 2014 dengan Amlin Aguri.

Horner memberitahu Motorsport.com bahawa ia membuktikan bahawa lulusan Red Bull mampu menjadi pelumba berkaliber dan pencapaian yang dicatatkan dalam perlumbaan lain membuktikan pelaburan mereka di bahagian pembangunan membuahkan hasil.

"Saya rasa perkara paling menarik ialah Red Bull memberikan peluang kepada ramai pelumba di luar sana.

"Tidak kiara sama ada Jean-Eric Vergne, Da Costa atau pun Sebastien Buemi," kata Horner.

Prorgam Red Bull sebelum ini dikritik kerana terlalu kejam dan cepat menyingkirkan pemandu sebelum waktunya.

"Saya tidak rasa mereka berasa menyesal, peluang sentiasa ada. Mungkin ia sesuatu yang menarik untuk melihat Da Costa beraksi dalam saingan F1," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 3:45 PM