PASUKAN JDT  menjulang trofi  Liga Super 2020   di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Bernama
PASUKAN JDT menjulang trofi Liga Super 2020 di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyangkal tuduhan segelintir pihak yang mendakwa kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa masuk penyokong beramai-ramai ke dalam Stadium Sultan Ibrahim ketika aksi Liga Super membabitkan JDT dan Sabah semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya menerima permohonan rasmi daripada JDT untuk membawa masuk ahli keluarga pemain berskala kecil yang tidak melebihi 100 orang.

Jelasnya lagi, permohonan terbabit diluluskan bersempena penyerahan trofi Liga Super kepada JDT dengan beberapa syarat diberian termasuk wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat oleh pihak tuan rumah.

Katanya, berdasarkan pemerhatian sebelum, ketika dan selepas perlawanan berlangsung, pengurusan JDT berjaya mengikut segala SOP ditetapkan kepada semua ahli keluarga pemain.

''Saya menyangkal di mana terdapat satu gambar tular yang menunjukkan peminat masuk ke stadium beramai-ramai dan itu perkara tidak benar.

''Ini kerana tidak ada mana-mana peminat masuk dan hanya ahli keluarga pemain JDT berskala kecil sahaja berada dalam stadium selain pegawai yang bertugas dalam stadium,'' katanya.

Untuk rekod, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini membenarkan acara dilangsungkan tidak melebih 250 orang, malah berdasarkan peraturan pertandingan MFL klausa 1.4 (XI), individu berkenaan yang tidak dibenarkan berada di venue kecuali mendapat kebenaran MFL.

Dalam klausa sama (IV) turut menekankan pemeriksaan saringan dilakukan seperti menyediakan alat pengesan suhu badan di depan pintu masuk stadium, dan tindakan sudah disediakan oleh pihak JDT.

''Hasil perbincangan bersama selepad melihat struktur venue dan sambutan kejuaraan, MFL bersetuju untuk membenarkan bilangan ahli keluarga pemain berskala kecil dibawa masuk dengan mematuhi SOP yang ditetapkan seperti pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan penjarakan fizikal di dalam stadium,'' kata Ghani.

Sebelum ini, tersebar beberapa keping gambar dan video yang dimuat naik kekasih Akhyar Rashid yang juga pelakon terkenal, Eyka Farhana di laman sosial miliknya.

Hantaran itu kemudiannya dipadam Eyka Farhana namun ia terus menjadi topik hangat perbualan netizen mengenai SOP yang diamalkan MFL.

Malah, tidak kurang juga ada yang mendakwa MFL seolah bersikap berat sebelah dan tidak tegas dalam mempertahankan peraturan yang dibimbangi boleh menjadi klaster baharu Covid-19 disebabkan oleh kehadiran penonton.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 3:07 PM