UITM FC mampu mencabar kedudukan Perak dan Kedah sekiranya terus memperagakan aksi cemerlang.
UITM FC mampu mencabar kedudukan Perak dan Kedah sekiranya terus memperagakan aksi cemerlang.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jaga-jaga pasukan Perak dan Kedah kerana UiTM FC boleh muncul naib juara Liga Super musim ini seandainya dua pasukan elit negara itu tercicir mata dalam baki aksi bermula minggu ini.

Jelas bekas pengendali PDRM FC, Fauzi Pilus, UiTM FC boleh dianggap sebagai 'pembunuh senyap' dan ia dibuktikan menerusi beberapa siri kemenangan ke atas pasukan gergasi seperti Pahang, Terengganu FC (TFC) dan terbaharu hampir mengaibkan Selangor sebelum terikat 3-3.

Lantas, persaingan merebut tempat kedua dilihat sengit membabitkan tiga pasukan Perak, Kedah dan UiTM FC dengan masing-masing turut mengidamkan tiket automatik beraksi di Piala AFC musim depan.

"Pada saya walaupun Perak dan Kedah di tangga kedua dan ketiga dengan 17 dan 16 mata, tetapi jurang mata itu tidak jauh dengan UiTM yang ada 14 mata.

"Senang cerita Perak dan Kedah tak boleh cicir mata perlawanan minggu ini, kerana aksi terakhir mereka akan bertembung sesama sendiri. UiTM FC pula akan jumpa lawan yang sedikit mudah. Kalau UiTM boleh dapat mata penuh dalam dua perlawanan dan Kedah atau Perak tercicir mata, UiTM boleh potong saat akhir dan jadi naib juara," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Saingan Liga Super yang bakal berakhir pada 10 Oktober ini menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal dinobatkan sebagai juara selepas memiliki kelebihan enam mata di depan Perak.

Malah, dua lawan skuad Harimau Selatan juga selepas ini boleh dianggap mudah iaitu berdepan Sabah dan Melaka United ketika anak buah Benjamin Mora hanya memerlukan satu mata sahaja untuk mengesahkan kejuaraan buat kali ketujuh berturut-turut.

Bagaimanapun, bagi bekas jurulatih Kuala Lumpur dan UiTM FC, Ismail Zakaria, beliau memilih Kedah untuk muncul naib juara dengan aksi terakhir menentang Perak di Stadium Ipoh ibarat pertembungan final.

Katanya, elemen konsistensi dan kekebalan benteng pertahanan skuad Helang Merah dilihat lebih baik berbanding skuad kendalian Mehmet Durakovic yang sering tenggelam timbul.

"Saya lihat Kedah ada potensi untuk jadi naib juara di belakang JDT. Sebab pertama Kedah nampak konsisten walaupun Sabtu lalu mereka kalah 1-2 kepada Pahang. Tapi dalam perlawanan itu, Kedah nampak menyengat cuma tiadanya penyudah yang membuatkan mereka hampa kalah selepas menang lima perlawanan berturut-turut sejak liga disambung (hujung Ogos lalu).

"Perak pula tak berapa steady, lebih-lebih pertahanan mereka. Tempoh hari mereka kalah 0-7 kepada JDT dan itu menunjukkan sedikit kelemahan. Saya rasa aksi terakhir yang kebetulan menemukan Perak dan Kedah akan tentukan nasib mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 6:00 AM