Reezal Merican (empat dari kanan) ketika menyaksikan perlawanan Liga Super antara Kedah dan Sabah di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan beberapa EXCO FAM lain.
Reezal Merican (empat dari kanan) ketika menyaksikan perlawanan Liga Super antara Kedah dan Sabah di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan beberapa EXCO FAM lain.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican amat berpuas hati dengan perjalanan Liga Malaysia (Liga M) yang kembali bersambung pada 28 Ogos lalu dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 dilaksanakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan pasukan bertanding.

Kenyataan itu disuarakan selepas beliau mendapat laporan pengelolaan perlawanan Liga M serta 'turun padang' memantau pematuhan SOP di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi membabitkan perlawanan Liga Super antara Kedah dengan Sabah.

Reezal Merican berkata, pihaknya berharap semua pihak terus bekerjasama bagi memastikan kelancaran Liga M sekali gus memberi keyakinan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk beralih ke fasa yang seterusnya bagi membenarkan kehadiran penyokong ke stadium.

"Alhamdulillah saya dapat hadir untuk tengok sendiri pematuhan SOP yang ditetapkan di mana mereka melaksanakan dengan baik dalam perlawanan antara Kedah dan Sabah.

"Saya juga dapat maklumat untuk perlawanan-perlawanan lain dan semuanya berjalan dengan lancar.

"Dengan pematuhan penjarakan fizikal, SOP ketika pendaftaran masuk sehinggalah ke dalam stadium semuanya dalam keadaan baik dan saya berharap ia akan berterusan kerana jika ia terus positif seperti ini, kita akan dapat ke Fasa 5 dan 6 pula.

"Sekarang kita di Fasa 4 iaitu membenarkan untuk mengadakan pertandingan domestik tanpa kehadiran penonton, jadi kalau ini dapat berterusan dengan baik, mungkin kita boleh meyakinkan MKN dan KKM untuk beralih ke fasa seterusnya pula," katanya.

Sebanyak 48 perlawanan Liga Super dan Perdana berlangsung dengan lancar menerusi pematuhan SOP yang ketat termasuk perlawanan tanpa penonton selepas saingan Liga M kembali bersambung pada 28 Ogos lalu sejak ditangguhkan 16 Mac lalu kerana Covid-19.

Aksi Liga Super dan Perdana kini berbaki tiga perlawanan sebelum pasukan memberi fokus kepada saingan Piala Malaysia pada Oktober ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 7:14 PM