MBAPPE berbaki dua tahun kontrak bersama PSG. FOTO AFP
MBAPPE berbaki dua tahun kontrak bersama PSG. FOTO AFP
Agensi

KYLIAN Mbappe bakal mencetuskan persaingan bernilai £400 juta (RM2.13 bilion) membabitkan gergasi Manchester, Liverpool dan Real Madrid.

Bintang Perancis berusia 21 tahun itu memberi bayangan mahu meninggalkan Paris Saint-Germain pada penghujung musim ini.

Dengan baki kontrak dua tahun, PSG bakal mendapat £300 juta (RM1.6 bilion) jika mereka menuruti kehendak pemain itu.

Mbappe yang kini dibayar £15 juta (RM79.8 juta) setahun dijangka mendapat kenaikan gaji lumayan £5 juta (RM26.6 juta) apabila berpindah dan mana-mana kelab yang mahu menandatanganinya bakal menawarkan kontrak lima tahun.

Ini bermakna gaji keseluruhan pemain itu £100 juta (RM532.3 juta), sekali ganda daripada harga yang dibayar PSG untuk mendapatkannya dari Monaco pada 2018.

City, United dan Real tidak akan teragak-agak dengan nilai itu tetapi pemilik Liverpool, FSG mungkin berfikir dua kali.

Juara Liga Perdana itu menghabiskan £310 juta (RM1.649 bilion) untuk membeli pemain bertaraf bintang di antara 2017 dan 2018.

Tetapi pada 12 bulan terakhir, pemilik dari Amerika Syarikat itu hanya menyediakan bajet £20 juta (RM106 juta) dan hanya membuat keuntungan bersih £32 juta (RM170 juta).

Untuk memiliki Mbappe, mereka perlu menjual salah seorang sama ada Mo Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane namun yang boleh diharapkan Liverpool ialah hubungan baik pemain itu dengan pengendali, Jurgen Klopp.

Klopp menghabiskan beberapa jam meyakinkannya berpindah ke Liverpool sebelum memilih PSG. Menurutnya: "Saya sukakan dia, secara jujurnya. Pemain yang hebat dan budak yang bagus.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 2:02 PM