WARHOLM (kiri) sudah sedaya upaya untuk memecahkan rekod dunia berusia 28 tahun itu. FOTO AFP
WARHOLM (kiri) sudah sedaya upaya untuk memecahkan rekod dunia berusia 28 tahun itu. FOTO AFP
AFP

PELARI Norway, Karsten Warholm gagal dalam usahanya untuk mencatatkan rekod baru dunia dalam acara 400 meter lari berpagar lelaki di Kejohanan Golden Spike di Ostrava.

Atlet berusia 24 tahun itu berada pada tahap terbaik dan di Stockholm dua minggu lalu hanya dibezakan dengan 0.09 saat berbanding rekod dunia yang sudah lama dipegang Kevin Young, 46.78s.

Pelari Amerika Syarikat itu mencatatkan rekod dunia itu ketika di Sukan Olimpik Barcelona 1992.

'False start' tidak menghalang Warholm untuk memulakan larian pantas pada pelepasan kedua.

Bagaimanapun, juara dunia dua kali itu melintasi garisan penamat dengan mencatat masa 47.62s.

"Ia memang menyeronokkan dapat muncul juara. Hari ini saya secara jujurnya terkejut dengan catatan masa yang dilakukan, saya fikirkan ia lebih pantas.

"Bagaimanapun inilah sukan dan anda harus lakukan apa saja. Anda sudah tentu tidak mahu perkara itu (false start) berlaku tapi ia adalah sebahagian daripada perlumbaan," kata pelari berusia 24 tahun itu kepada wartawan Norway.

Warholm mengakui bahawa dia sebenarnya perlu memperbaiki dari segi pecutan terutama di selekoh terakhir perlumbaan.

"Tidak ada perkara yang dramatik mengenainya. Saya hanya perlu melakukan sedikit perubahan dan itulah yang menyebabkan saya tidak dapat merakam masa terbaik," kata Warholm.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 11:03 AM