PSG mengakui pernah berminat untuk mendapatkan Messi. FOTO AFP
PSG mengakui pernah berminat untuk mendapatkan Messi. FOTO AFP
Agensi

PARIS Saint-Germain (PSG) mengakui pernah berminat mendapatkan Lionel Messi pada musim perpindahan pemain sebaik mendapati dia mahu meninggalkan Barcelona.

Messi mengejutkan dunia apabila mengakui mahu meninggalkan Nou Camp menerusi perpindahan secara percuma.

Namun gergasi LaLiga itu menegaskan mana-mana kelab perlu membayar klausa pelepasan berjumlah £630 juta (RM3.45 bilion) sekiranya mahu mendapatkan bintang Argentina itu.

Enggan mengheret isu itu ke mahkamah, Messi menghentikan niatnya untuk berhijrah dan kini kekal bersama kelab itu di bawah bimbingan pengurus baharu, Ronald Koeman.

Pengarah Sukan PSG, Leonardo mengakui finalis Liga Juara-Juara itu mahu mendapatkan Messi dengan membandingkan perpindahan itu seperti ketika mendapatkan David Beckham di hujung kariernya pada 2013.

"Hari ini jika anda bercakap mengenai situasi kewangan, ia sememangnya agak sukar," kata Leonardo kepada Telefoot ketika ditanya jika juara Perancis itu berminat mendapatkan Messi.

"Apabila kami dimaklumkan Messi mahu meninggalkan pasukan, kami amat teruja. Kami mula memikirkan adalah ia boleh menjadi kenyataan? Dia adalah pemain yang sama sekali tiada dalam perbincangan sebelum ini.

"David Beckham menamatkan karier di Paris Saint-Germain, adakah Messi juga menamatkan karier di Paris? Saya tidak pasti.

"Ia adalah bola sepak. Pada akhirnya semuanya perlu melalui proses perbincangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 2:46 PM