FABIO bakal memantapkan lagi barisan depan Wolves. FOTO Agensi
FABIO bakal memantapkan lagi barisan depan Wolves. FOTO Agensi
AFP

WOLVES menandatangani penyerang Portugal, Fabio Silva dari Porto dengan mencatatkan rekod pembelian tertinggi kelab €40 juta (RM196 juta), selepas ia disahkan oleh kedua-dua kelab.

Silva, 18, menjaringkan tiga gol dalam 24 penampilan bersama skuad utama Porto.

"Wolves sangat berbesar hati dapat menandatangani penyerang remaja antarabangsa Portugal, Fabio Silva dari Porto, dengan mencatat rekod perpindahan kelab.

"Pemain berusia 18 tahun, yang juga pemain paling muda menjaringkan gol bersama Porto, berjaya memecahkan rekod rakan sepasukan di Wolves, Ruben Neves yang mencatatkan rekod tahun lalu," kata kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam satu kenyataan.

Silva menjadi pemain ke-10 Portugal beraksi di Wolves berikutan mempunyai hubungan rapat antara ejen Portugal, Jorge Mendes dengan pemilik kelab dari China, Fosun.

Jurulatih Wolves, Nuno Espirito Santo juga adalah pelanggan Mendes.

Bagaimanapun, Pengerusi Wolves, Jeff Shi, menolak kebimbangan mengenai bayaran tinggi kepada pemain yang kurang pengalaman dalam skuad utama.

"Dia seorang pemain yang anda perlu beberapa minit bagi melihat bakat semula jadi bola sepak.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Fabio menunjukkan peningkatan sangat pantas dan sekarang sudah membuktikan dirinya dalam skuad utama Porto," kata Shi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 10:12 AM