MESSI sedia berdepan tindakan daripada Barcelona. FOTO Agensi
MESSI sedia berdepan tindakan daripada Barcelona. FOTO Agensi
Agensi

BARCELONA meneruskan situasi tegang dengan Lionel Messi apabila memberi amaran akan mengheret kapten kelab itu ke mahkamah jika dia berhijrah secara percuma ke kelab lain.

Menurut laporan media Sepanyol, kelab Catalan itu juga akan memulakan proses perundangan dengan kelab yang menandatangani pemain Argentina itu selepas dia dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City.

Messi minggu lalu mengejutkan bos Barcelona selepas memohon untuk meninggalkan kelab itu selepas 16 musim.

Bintang Barcelona berusia 33 tahun itu mendakwa klausa pelepasan di dalam kontraknya membenarkannya meninggalkan kelab itu tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun laporan di Sepanyol hari ini menyatakan Barcelona akan mengheret pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu ke mahkamah jika FIFA mengizinkan perpindahannya.

Messi dan pasukan peguamnya bagaimanapun sudah bersedia berdepan tindakan daripada Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 10:21 PM