EWAN (dua dari kiri) mencari ruang untuk memintas Bennett ketiga menuju ke garisan penamat peringkat ketiga TDF. FOTO AFP
EWAN (dua dari kiri) mencari ruang untuk memintas Bennett ketiga menuju ke garisan penamat peringkat ketiga TDF. FOTO AFP
AFP

PELUMBA Australia, Caleb Ewan melakukan henjutan bertenaga di hujung perlumbaan untuk memintas Sam Bennett dari Republik Ireland seterusnya melintasi garisan penamat perlumbaan peringkat ketiga Tour de France (TDF) awal pagi tadi.

Julian Alaphilippe dari Perancis masih mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan selepas berakhirnya perlumbaan sejauh 198 kilometer dari stadium bola sepak Nice ke bandar Sisteron.

Ewan, 26, memenangi tiga peringkat perlumbaan pada tahun lalu namun memulakan edisi kali ini dengan kesakitan di bahagian belakang selepas terbabit dalam kemalangan di peringkat pembuka tirai.

Kemenangan yang diraih Ewan memberikan moral tambahan buat pasukan Lotto selepas mereka kehilangan dua pelumba pada peringkat pertama apabila Philippe Gilbert mengalami kecederaan di bahagian lutut, manakala John Degenkolb tersingkir dari perlumbaan selepas gagal melepasi had masa ditetapkan.

"Saya melakukan tugas dengan baik sekali mengikut apa yang dirancangkan. Saya hanya perlu menunggu untuk meluru pada masa yang betul. Ia memang sangat mengecewakan selepas kami kehilangan dua pelumba pada hari pertama tapi semua orang sudah kembali bersatu.

"Satu dunia sedang menyaksikan perlumbaan ini dan semua orang sudah pasti mahu menghadiri perlumbaan ini, ia adalah saingan terbesar dalam perlumbaan dan saya berasa sangat gembira," katanya.

Selepas aksi yang penuh dramatik dalam perlumbaan semalam yang dimenangi oleh Alaphilippe, saingan hari ketuga dilihat lebih santai dengan pelumba melalui kawasan hutan taman negara terletak di antara Mediterranean dan kaki pergunungan Alps.

"Perlumbaan hari ini memberi peluang kepda pakar pecut, jadi memang kami tidak melepaskannya," kata Ewan selepas tamat saingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 10:55 AM