PELUMBA Deceuninck–Quick-Step, Alaphilippe  itu gembira selepas berjaya melintas garisan penamat. FOTO AFP
PELUMBA Deceuninck–Quick-Step, Alaphilippe itu gembira selepas berjaya melintas garisan penamat. FOTO AFP
AFP

SELEPAS setahun menggembirakan negara kelahirannya dengan memegang jersi kuning selama dua minggu dalam saingan Tour de France (TDF) musim lalu, Julian Alaphilippe kembali lagi dengan aksi bertenaga untuk merangkul kejuaraan peringkat kedua awal pagi tadi sekali gus berjaya menyarung jersi yang sama.

Pada pendakian terakhir, Alaphilippe melakukan henjutan bertenaga bagi meraih mata bonus sebelum menuju ke garisan penamat di Nice, di mana kejuaraan peringkat kedua juga memberikan mata tambahan buatnya.

Dia ternyata gembira dengan penampilan yang sama seperti tahun lalu selepas melintasi garisan penamat, walaupun peloton sudah semakin hampir untuk menangkapnya bersama dua orang lagi pelumba ketika di Promenade des Anglais.

Aksi peringkat kedua seakan hampir sama seperti mana Alaphilippe berjaya mengelak dari dikejar peloton ketika peringkat ketiga perlumbaan menuju ke Epernay.

Pelumba Deceuninck–Quick-Step itu seterusnya mengekalkan jersi kuning sepanjang 14 hari berturut-turut sebelum ia hilang pada tiga peringkat terakhir dan hanya berpuas hati di tempat kelima keseluruhan.

Tidak ada seorang pun pelumba Perancis pernah muncul juara keseluruhan TDF sejak 1985.

"Saya memang selalu mahu mencuba sesuatu dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Ia benar-benar memeritkan, ketika saya mengerah segala tenaga di hujung saingan.

"Saya mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada bapa saya. Ia sangat penting buat saya," katanya yang tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan bapanya Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 10:54 AM