Antonio Conte (dua kanan) bersama pemain Inter yang kecewa selepas tewas pada final Liga Europa minggu lalu. FOTO AFP
Antonio Conte (dua kanan) bersama pemain Inter yang kecewa selepas tewas pada final Liga Europa minggu lalu. FOTO AFP
AFP

ANTONIO Conte akan kekal sebagai jurulatih Inter Milan musim depan selepas mesyuarat krisis selama tiga jam bersama presiden kelab, Steven Zhang dan pihak pengurusan, menurut kelab Itali itu.

"Pihak kelab dan Antonio Conte sudah mencapai persetujuan dalam mesyuarat hari ini untuk memberi tumpuan kepada kesinambungan dan strategi di mana kedua-dua pihak akan kekal bekerjasama di kelab itu," menurut Inter Milan dalam satu kenyataan.

Conte, 51, sebelum ini memberi bayangan dia mungkin menarik diri dari kelab Itali itu hanya selepas satu musim susulan tewas pada final Liga Europa ke atas Sevilla minggu lalu.

"Kini kami akan kembali ke Milan, kami akan rehat sehari dua. Kami akan cuba merancang masa depan Inter bersama atau tanpa saya," kata Conte selepas pasukan itu terlepas peluang merangkul trofi pertama sejak 2011.

Sekalipun musim pertama di San Siro dilihat berjaya ketika Inter menamatkan saingan Serie A di tempat kedua hanya satu mata di belakang Juventus yang merangkul trofi ke sembilan Scudetto.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 8:33 AM