Ronaldinho ketika tiba di mahkamah kerana dakwaan menggunakan pasport palsu di Asuncion, Paraguay. FOTO AFP
Ronaldinho ketika tiba di mahkamah kerana dakwaan menggunakan pasport palsu di Asuncion, Paraguay. FOTO AFP
AFP

BEKAS bintang Brazil, Ronaldinho dibebaskan oleh hakim Paraguay hari ini selepas lima bulan ditahan kerana dakwaan menggunakan pasport palsu.

Hakim Gustavo Amarilla juga membebaskan abang Ronaldinho, Roberto de Assis Moreira, yang turut ditahan selama sebulan di penjara dan empat bulan lagi menerusi tahanan rumah di sebuah hotel dekat ibu kota Paraguay, Asuncion, kerana dakwaan sama.

Bekas pemenang Piala Dunia yang berusia 40 tahun itu "bebas untuk ke mana-mana negara di dunia tetapi mesti memberitahu kami jika dia menukar status penduduk tetap" dalam tempoh setahun, kata hakim berkenaan.

"Dia tidak dikenakan halangan kecuali perlu memenuhi tanggungjawab memperbaiki kerosakan dilakukan kepada masyarakat."

Ronaldinho tampil memakai jeans dan berbaju hitam menerima syarat berkenaan termasuk bayaran ganti rugi $90,000 (RM375,795).

Abangnya yang juga pengurus perniagaan Ronaldinho, mesti membayar $110,000 (RM459,305).

Mereka juga mesti berdepan hakim di Brazil setiap tiga bulan - Ronaldinho selama setahun dan abangnya dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 8:03 AM