HILMI Zakuwan Yusri Azhar (kiri) bersama jurulatihnya, Asro selepas merangkul pingat emas di ‘Asean School Games’ di Indonesia tahun lalu. FOTO Ihsan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu
HILMI Zakuwan Yusri Azhar (kiri) bersama jurulatihnya, Asro selepas merangkul pingat emas di ‘Asean School Games’ di Indonesia tahun lalu. FOTO Ihsan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu
Malik Muhamad


SELEPAS tersenarai dalam program pelapis skuad kebangsaan, atlet lari berpagar Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT), Muhammad Hilmi Zakuwan Yusri Azhar, memasang impian yang menggunung untuk beraksi pada pentas Sukan Olimpik satu hari nanti.

Atlet berpotensi berusia 17 tahun itu yang menduduki ranking ke-15 Asia dan ke-190 dunia dalam acara 110 meter (m) lari berpagar tahun lalu dengan catatan 14.15 saat mengakui begitu teruja dipilih selain bersyukur impiannya untuk menyarung jersi negara bakal menjadi kenyataan.

"Harapan saya adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik suatu hari nanti dengan mengutip pingat emas selepas terpilih dalam program pelapis kebangsaan.

"Walaupun perjalanan masih berliku, saya tekad untuk beraksi pada pentas tertinggi itu dengan fokus ketika latihan, menjaga disiplin, solat lima waktu di samping solat sunat dhuha dan solat hajat selain perlu menghormati ibu bapa, guru-guru dan juga jurulatih," katanya.

Kejayaan tertinggi atlet itu setakat ini adalah ketika mewakili negara pada pentas 'Asean School Games' di Indonesia tahun lalu dalam acara 110m lari berpagar dengan membawa pulang satu pingat emas dan rekod baharu kejohanan selain merangkul emas dan rekod baharu dalam acara 110m lari berpagar dalam 'Thailand Sports School Games' 2019 serta pingat emas dan rekod baharu dalam acara 110m lari berpagar bawah 18 tahun pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Sementara itu jurulatihnya, Asro Othman berkata, olahragawan harapan SSMT 2018 adalah pelajar pertama SSMT yang berjaya tersenarai ke program pelapis kebangsaan berdasarkan pencapaian sepanjang tahun 2019 dengan berjaya mencatat semua kemenangan dan melakar rekod baharu dalam acara yang disertai.

"Selain itu dia (Zakuwan) berjaya melepasi catatan masa dalam acara disertai sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM)."

Zakuwan adalah antara permata termuda yang tersenarai ke program berkenaan berbanding dengan atlet lain yang berada di pra-universiti di Sekolah Sukan Malaysia kerana bakat yang dimiliki atlet itu dalam acara 110m dan 400m lari berpagar.

"Harapan saya mahu melihat atlet itu layak beraksi pada pentas Olimpik sebagaimana impiannya kerana kualiti dan potensi yang ada pada atlet itu cukup besar dengan usianya apabila berjaya mengharumkan nama negara pada pentas Asean," katanya yang memaklumkan atlet itu mendapat tawaran menyertai pasukan pelapis negara pada awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 3:34 PM