KHAIRUL bergelut dengan kecederaan jari. FOTO Petronas Sprinta Racing
KHAIRUL bergelut dengan kecederaan jari. FOTO Petronas Sprinta Racing
Aida Adilah Mat


TAMPAK sukar buat pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi yang dilihat masih lagi bergelut dengan kecederaan yang dialaminya menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Austria esok.

Khairul Idham atau dikenali dengan panggil Super KIP sekadar melakarkan catatan masa sepusingan 1 minit 38.713 saat ketika sesi ujian bebas untuk berada di kedudukan ke-30 keseluruhan manakala rakan pasukan John di kedudukan kedua (1'36.841).

Bagaimanapun pelumba Petronas Sprinta Racing itu tetap positif untuk terus memberi yang terbaik pada saingan seterusnya.

"Hari ini (semalam) mengikut saja strategi pasukan yang menyuruh dengan saya dan John bekerjasama di atas trek. Kami boleh membantu antara satu sama lain.

"Ia sesuatu yang baik kerana saya masih lagi bergelut dengan brek kerana kecederaan di tangan masih lagi terasa sakit dan ia menjadikan hari ini (semalam) begitu sukar.

"Litar ini banyak selekoh yang memerlukan saya banyak bermain dengan brek dan ia adalah sesuatu sukar untuk dilakukan pada masa ini," katanya.

Begitupun Super KIP tidak pernah patah semangat biarpun kesan daripada kecederaan menyebabkan dia merasa sakit namun akan meneruskan saingan.

"Saya akan ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Mungkin saya boleh mengambil ubat tahan sakit sepanjang minggu ini.

"Kita lihat saja apa yang boleh dilakukan nanti dan saya harap semuanya akan semakin baik nanti," katanya.

Super KIP mengalami kemalangan di Grand Prix Republik Czech, minggu lalu yang menyaksikan jari kelingking kanannya retak - kecederaan di bahagian tangan yang sama - sehingga dia terpaksa berehat panjang pada musim terakhirnya beraksi dalam kelas Moto2, tahun lalu.

Litar Red Bull Ring-Spielberg bakal menjadi tuan rumah untuk GP Austria minggu ini sebelum kembali menjadi medan pertarungan untuk GP Styria yang menjadi lokasi bagi pusingan keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 7:53 PM