RONALDO (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan selepas menyumbang gol pertama ketika bertemu Lazio, Isnin lalu. FOTO AFP
RONALDO (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan selepas menyumbang gol pertama ketika bertemu Lazio, Isnin lalu. FOTO AFP
AFP

CRISTIANO Ronaldo sedang memburu lebih banyak rekod menjelang kunjungan Juventus ke Udinese, Jumaat ini dengan gelaran juara Serie A kali kesembilan berturut-turut semakin berada di dalam genggaman mereka.

Ronaldo menjaringkan dua gol ketika bertemu Lazio, Isnin lalu untuk gol peribadi ke-51 di Serie A sejak tiba di Turin pada Julai 2018.

Bintang berusia 35 tahun itu bukan sahaja menjadi pemain pertama meraih jumlah jaringan itu di Itali. Sepanyol dan England, namun juga muncul pemain paling pantas melakukannya selepas 61 perlawanan liga.

Tahun lalu, pemenang lima kali Ballon d'Or itu menjaringkan 21 gol pada musim pertamanya di Itali.

Dua jaringannya ketika bertemu Lazio menyaksikannya sudah mengumpul 30 gol musim ini ketika berbaki empat perlawanan lagi.

Satu lagi gol menyaksikannya akan menyamai rekod bekas pemenang Piala Dunia Itali, Felica Borel yang muncul pemain terakhir meledak 31 gol untuk Juventus sepanjang musim 1933-34.

Untuk anugerah penjaring terbanyak, Ronaldo kini berongsi kedudukan dengan pemain Lazio, Ciro Immobile yang juga sudah meledak 30 gol.

Malah Ronaldo berpeluang mengatasi rekod pemain Bayern Munich, Robert Lewandowski selaku penjaring terbanyak di Eropah apabila sudah menjaringkan 34 gol pada saingan Bundesliga musim ini.

"Cristiano sukar untuk diramalkan. Jika dia mensasarkan sesuatu, dia sangat bersemangat untuk melakukannya.

"Bukan saja daripada sudut fizikal, tapi secara keseluruhannya dia adalah seorang pemain yang lengkap," kata pengurus Juventus, Maurizio Sarri.

"Kemenangan yang amat penting! Kita semakin menghampirinya. Ayuh," tulis Ronaldo di akaun Instagram miliknya selepas perlawanan bertemu Lazio.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 9:47 AM