AKSI Mount (tengah) meraikan jaringan kedua ketika menewaskan Manchester United di Wembley. FOTO AFP
AKSI Mount (tengah) meraikan jaringan kedua ketika menewaskan Manchester United di Wembley. FOTO AFP
Agensi

BINTANG muda Chelsea, Mason Mount akui menyaksikan Liverpool menjulang trofi Liga Perdana, Khamis ini mampu menyemarakkan semangat pasukannya untuk berusaha dan melakukan perkara sama musim depan.

Kapten Reds, Jordan Henderson bakal menjulang trofi di Anfield selepas pasukannya melayan kunjungan Blues dalam aksi terakhir musim.

Pentas khas dibina di belakang gawang bagi membolehkan skuad Jurgen Klopp menerima trofi dan medal daripada legenda kelab, Kenny Dalglish.

Mount dan rakan sepasukan hanya memerhatikan daripada tepi garisan dan pemain England itu menegaskan ia bakal pengalaman menyakitkan.

Tetapi Mount mahu anak buah Frank Lampard menjadikannya motivasi untuk mereka mencabar gelaran liga musim depan.

Menurutnya: "Bagi pasukan yang sangat dominan musim ini sudah pasti memberikan anda motivasi untuk melakukan perkara sama musim depan.

"Kami menentang mereka tiga kali musim ini dan kami makin hampir dan kompetitif dengan mereka. Apabila anda menyaksikannya, ia memberi anda motivasi tambahan.

"Sudah tentu ia membakar semangat kami. Saya adalah pemenang, jadi saya tak suka melihat orang lain menang tetapi mereka memang berhak menjuarainya. Pada masa sama ia memberikan anda motivasi tambahan untuk menang."

Mount berpeluang menjulang trofi musim ini selepas membantu Blues menewaskan Manchester United 3-1 di Wembley kelmarin untuk mara ke final Piala FA menentang Arsenal pada 1 Ogos.

Dia yang menjaringkan gol kedua pasukannya ketika menang pada aksi separuh akhir berkata: "Itu yang kami mahu lakukan. Ini Chelsea, kelab besar dan jangkaan untuk kami menang juga besar."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 9:49 AM