HAMILTON sasar raih kejayaan kelapan di Budapest. FOTO
HAMILTON sasar raih kejayaan kelapan di Budapest. FOTO
AFP

EMPAT hari selepas merangkul kejayaan yang sangat memuaskan dan paling diingati, Lewis Hamilton kembali di salah sebuah litar kegemarannya hujung minggu ini dengan cuba untuk mencatat lebih banyak rekod kejayaan Formula Satu (F1) berbanding pelumba lain.

Ketika dia mempersiapkan diri untuk Grand Prix (GP) Hungary di Litar Hungaroring, juara dunia enam kali itu akan manfaatkan pengalaman dan momentum untuk mengatasi rekod tujuh kemenangan di Budapest.

Hamilton sebelum ini berjaya mencatatkan tujuh kejayaan di Hungary dan Ahad ini dia mampu menyamai rekod Michael Schumacher merangkul lapan kejuaraan di GP sama.

Schumacher merangkul lapan kejuaraan di GP Perancis di Magny Cours antara 1994 hingga 2006, satu pencapaian yang cuba dikejar Hamilton.

"Setiap kali saya terfikir mengenai rekod yang dilakukan oleh Michael, ia akan membuatkan saya terkejut.

"Saya sentiasa menggemari beraksi di Hungary. Budapest dan Montreal membuatkan anda berkata saya akan menguasainya, jadi saya tidak sabar untuk kembali. Ia adalah litar yang Red Bull akan beraksi cemerlang jadi ia juga bukan satu tugas mudah," kata Hamilton.

Pelumba Red Bull, Max Verstappen bersedia untuk menamatkan penguasaan Mercedes sejak aksi disambung semula akibat Covid-19 dan menghalang daripada penyandag juara itu merangkul kejayaan hatrik pada pembukaan musim.

Pemandu kelahiran Belanda itu menduduki tempat ketiga di belakang Hamilton dan Valtteri Bottas, juara aksi pembuka tirai di Red Bull Ring dan mengakui dia tidak mempunyai kelajuan yang sama untuk bersaing dengan mereka.

Bagaimanapun, prinsipal Red Bull, Christian Horner percaya pasukannya mampu merapatkan jurang di Hungaroring, namun Verstappen masih ragu-ragu.

"Saya tidak tahu, namun sudah tentu saya berharap ia akan menjadi lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 12:10 PM