RODGERS percaya pasukannya mampu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik. FOTO AFP
RODGERS percaya pasukannya mampu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik. FOTO AFP
AFP

BRENDAN Rodgers yakin Leicester City mampu melayakkan diri ke Liga Juara-Juara walaupun bergelut dengan prestasi pada hujung saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Foxes akan berkunjung ke Arsenal awal pagi esok tatkala mereka sedang berjuang untuk meloloskan diri ke saingan kelab elit Eropah selepas kali terakhir melakukannya pada musim 2016/17.

Leicester menduduki tangga ketiga selepas mencatat kemenangan 3-0 Sabtu lalu ketika berdepan Crystal Palace sekali gus menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan sejak aksi bersambung semula akibat Covid-19.

Rodgers percaya pasukannya mampu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik, walaupun persaingan semakin sengit, dengan pasukan tempat kelima, Manchester United hanya tiga mata di belakang mereka.

"Tidak perlu disangsi lagi, kami sudah membuktikan dalam 33 perlawanan. Memang kami kehilangan beberapa pemain tapi sebagai satu skuad kami tetap fokus untuk mencapainya dan berjuang sehingga wisel penamat.

"Apa yang pemain sudah lakukan sangat luar biasa. Saya sangat jelas mengenai perkara itu dan mendapat perspektif semuanya.

"Jika anda rasa dua pasukan depan kami (Liverpool dan Manchester City), adalah dua pasukan hebat di EPL, bagi kami untuk berada di tangga kedua dari segi pertahanan terbaik dan ketiga jumlah jaringan terbanyak bermakna pemain kami sudah melakukan dengan terbaik.

"Saingan liga sangat kompetitif, tapi skuad seperti kami berada dalam kalangan kelab gergasi membuktikan di mana tahap prestasi kami," kata Rodgers.

Arsenal pula bangkit ketika peluang melayakkan diri ke Liga Juara-Juara sangat tipis selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Wolves.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 8:01 AM