JAAMI kini beraksi bersama skuad remaja Brighton. FOTO FB Jaami Qureshi
JAAMI kini beraksi bersama skuad remaja Brighton. FOTO FB Jaami Qureshi
Firdaus Hashim


KEKUATAN skuad bawah 19 (B-19) tahun negara dijangka bertambah sekiranya pemain kacukan Jaami Qureshi berjaya diserapkan menjelang kempen Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan, pada 14 Oktober ini.

Jaami yang kini beraksi sebagai penyerang skuad remaja kelab Brighton adalah buruan utama skuad B-19 negara untuk digandingkan bersama penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin di jentera depan.

Dia yang memiliki pertalian darah dengan rakyat Malaysia menerusi sebelah ibunya yang berasal dari Manjoi pernah disenaraikan oleh skuad B-15 England sebelum ini, dan atas faktor itu pengurusan pasukan negara berhasrat untuk memikat Jaami.

Menurut pengurus pasukan B-19, Datuk Kamarul Ariffin, beliau amat teruja untuk melihat sendiri aksi pemain kacukan itu dan sedia ke luar negara untuk menemui pemain itu.

"Pemain daripada Brighton yang dah mewakili England B-15 itu amat menarik minat saya.

"Insya-Allah jika dalam tempoh terdekat kami boleh ke luar negara, saya akan pergi sendiri untuk melihat dan memantau perkembangannya sebab Brighton B-16 menang dengan Arsenal 2-1, dan itu membuatkan saya teruja untuk pergi melihatnya," katanya.

Potensi besarnya dalam bola sepak menyaksikan media tempatan, Mirror menyenaraikan pemain itu sebagai antara prospek yang mungkin mewakili skuad kebangsaan England pada masa depan.

Sebagai rekod, anak bongsu daripada lima beradik itu memulakan karier di akademi Brentford seawal enam tahun sebelum dia beraksi bersama akademi Chelsea selama tiga tahun dan kemudiannya Fulham.

Brighton kemudian mengintai khidmatnya sebelum dia menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab itu bermula usia 12 hingga14 tahun.

Potensi yang dimilikinya menyaksikan Brighton menyambung kontraknya selama empat tahun dan biasiswa termasuklah kontrak profesional selama dua tahun bersama skuad utama bergantung pada prestasinya ketika berusia 17 tahun.

Malah, penyerang itu memiliki kelebihan kerana selain bermain bola sepak, dia turut bermain ragbi dan bergelar atlet kebangsaan bagi acara pecut 100 meter (m) dan 200m.

Mengulas perkembangan Wan Kuzri, Kamarul mengesahkan pemain kelahiran Amerika Syarikat itu akan menyertai skuad negara dalam waktu terdekat.

"Setakat ini apa yang saya boleh sahkan, pemain yang dalam proses terakhir untuk kembali ke Malaysia ialah Kuzri. Dia dalam proses dokumentasi terakhir untuk kami terbangkan bagi sertai pasukan ke AFC nanti," katanya.

Di Uzbekistan nanti, skuad kendalian Brad Maloney diletakkan dalam Kumpulan D bersama Qatar, Tajikistan dan Yaman dengan sasaran adalah untuk mara ke separuh akhir sekali gus menempah tiket ke Piala Dunia B-20 di Indonesia tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 7:44 PM